KUDAT : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Kudat berjaya mengagalkan cubaan menyeleweng 800 liter minyak diesel dalam satu Operasi (Ops) Tiris 4.0 di daerah kecil Pulau Banggi di sini.
Operasi bersepadu yang turut melibatkan Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Kudat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat itu dilaksanakan bagi mengekang ketirisan barang kawalan di kawasan perairan Sabah.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Cawangan Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, seorang lelaki tempatan ditahan di laluan Karakit–Batu Layar selepas didapati membawa empat tong drum berisi diesel menggunakan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux Single Cab dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan lanjut mengesahkan kesemua tong berkenaan mengandungi kira-kira 800 liter diesel yang dipercayai untuk tujuan penyelewengan.
” Kenderaan serta bahan api itu kemudiannya disita bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Nazatul berkata, pihaknya akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Pulau Banggi.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu atau sindiket yang cuba mengambil kesempatan terhadap subsidi kerajaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara agensi penguatkuasaan menjadi faktor penting dalam memastikan kegiatan penyelewengan bahan api dapat dibanteras secara berkesan.
“Orang ramai turut diseru agar tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membendung aktiviti penyeludupan dan ketirisan barang kawalan,” katanya.



