KOTA KINABALU: Seorang pengusaha kedai makan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mencuri elektrik dengan membuat sambungan pintasan pada ‘cut out supaya bacaan meter menjadi rendah.
Andrew Mali, 58, turut berdepan hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman denda itu selepas Andrew mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertududan, Andrew secara curang menggunakan elektrik melalui sambungan pintasan di ‘cut out fuse’ yang disambungkan ke ‘switchboard’ di sebuah premis yang mengakibatkan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE) terkurang caj dan mengalami kerugian.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Penampang pada 27 Februari 2025.
Dia telah melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 61(3)(c) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 61(3)(e) (ii) Enakmen Bekalan Elektrik 2024, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Fakta kes menyatakan bahawa ujian hasil ujian kejituan meter yang dijalankan di premis berkenaan mendapati terdapat ralat dengan bacaan sebanyak -66.441 peratus yang menyebabkan SE telah terkurang caj dan mengalami kerugian.
Semasa rayuan, Andrew yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan ini merupakan kesalahan pertamanya.
Beliau memaklumkan bahawa premis tersebut telah ditutup dan beliau yang mempunyai masalah kesihatan kini tidak bekerja.
Andrew turut menjelaskan bahawa bil semasa premis telah dijelaskan dan kini beliau menunggu surat penilaian kerugian, selain bekalan elektrik ke premis itu telah pun ditamatkan.
Sementara itu, pegawai pendakwa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Nureen Natasha Mohd Raffie, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana tertuduh melakukan kesalahan tersebut secara sengaja.
Pendakwaan turut berhujah bahawa walaupun Andrew tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, kesalahan seumpama itu adalah berleluasa.



