HomeUtamaTangguh Bayaran 40%: Tamparan hebat aspirasi rakyat Sabah — Penganalisis

Tangguh Bayaran 40%: Tamparan hebat aspirasi rakyat Sabah — Penganalisis

Read Time:1 Minute, 59 Second

KOTA KINABALU : Keputusan Mahkamah Rayuan Malaysia membenarkan kerajaan Persekutuan menangguhkan pembayaran 40 peratus hasil bersih kepada Sabah disifatkan sebagai satu tamparan hebat terhadap aspirasi rakyat negeri itu.

Penyelidik Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPES), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, tuntutan tersebut merupakan hak perlembagaan yang jelas termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Penangguhan itu bukan sahaja memberi kesan kepada kedudukan kewangan negeri, malah turut melambatkan proses pemulihan ekonomi Sabah yang memerlukan suntikan dana besar bagi merapatkan jurang pembangunan.

Penyelidik Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPES), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad

“Bagi rakyat Sabah, setiap kelewatan bermakna peluang untuk menikmati infrastruktur asas yang lebih baik serta sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efisien terus tertangguh,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Dr. Syahruddin menjelaskan, kegagalan menyalurkan dana tersebut berpotensi menjejaskan pelaksanaan projek kritikal seperti naik taraf bekalan air, elektrik dan rangkaian jalan raya yang sekian lama menjadi rungutan penduduk tempatan.

Sabah, katanya, merupakan negeri yang kaya dengan sumber alam, namun masih berdepan kadar kemiskinan yang tinggi. Justeru, dana 40 peratus itu bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi “tali hayat” untuk memacu transformasi industri serta pembangunan luar bandar.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa ketidakstabilan dari segi kawalan kewangan akan menyukarkan kerajaan negeri merancang pembangunan jangka panjang yang mampan dan berdaya saing.

Mengulas kesan sosial, beliau berkata, kelewatan berterusan dalam isu ini turut menjejaskan kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman yang masih bergelut dengan kekurangan kemudahan pendidikan dan kesihatan.

Dr. Syahruddin berkata, rakyat Sabah kini semakin sedar akan hak mereka di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan dijangka akan terus menuntut ketelusan dalam pelaksanaannya.

“Ketidakpastian mengenai bila bayaran ini akan dilunaskan telah mewujudkan sentimen kekecewaan yang mendalam dalam kalangan rakyat, apatah lagi sumbangan hasil Sabah kepada negara adalah signifikan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa keadilan kepada Sabah tidak seharusnya ditangguhkan atas alasan teknikal perundangan semata-mata.

“Kepentingan rakyat Sabah mesti diutamakan melebihi birokrasi politik bagi memastikan keharmonian Persekutuan terus terpelihara berasaskan prinsip perkongsian hasil yang adil,” katanya.

Bagaimanapun, beliau masih menaruh keyakinan bahawa kerajaan Persekutuan melalui pejabat Perdana Menteri bersama agensi berkaitan dan kerajaan negeri Sabah akan terus mendengar suara rakyat serta mencari penyelesaian pragmatik bagi melunaskan bayaran 40 peratus tersebut.

Tambahnya, penyelesaian segera terhadap isu ini amat penting bagi memastikan limpahan ekonomi dapat dirasai seluruh rakyat Sabah, sekali gus membolehkan negeri itu mencapai pembangunan mampan dan setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

RELATED ARTICLES
Utama

Majikan, pekerja didenda miliki produk kosmetik tidak berdaftar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular