KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus memperkukuh agenda transformasi digital apabila Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) secara rasmi dijenamakan semula sebagai Jabatan Teknologi Digital dan Inovasi Negeri, bersempena sambutan ulang tahun ke-50 penubuhannya.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, penjenamaan semula itu mencerminkan peranan baharu jabatan berkenaan sebagai peneraju transformasi digital kerajaan negeri serta pemangkin pembangunan inovasi teknologi di Sabah.
Beliau berkata, sepanjang lima dekad penubuhannya, jabatan tersebut memainkan peranan penting sebagai tulang belakang pembangunan sistem dan teknologi maklumat kerajaan negeri — bermula daripada era pengkomputeran asas hingga kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif digital dalam perkhidmatan awam.

“Usaha berterusan ini telah membantu memperkukuhkan kecekapan pentadbiran kerajaan, meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta menyokong pelbagai agenda pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran nama baharu jabatan tersebut dalam satu majlis pada Khamis.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan dunia kini bergerak pantas ke arah ekonomi digital, inovasi teknologi dan masyarakat berasaskan data, justeru kerajaan perlu bertindak sebagai pemacu utama transformasi tersebut.
Seiring aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya, James berkata, teknologi digital dan inovasi dikenal pasti sebagai antara enjin utama bagi mempercepat pembangunan negeri merangkumi sektor ekonomi digital, pendidikan, perkhidmatan awam, industri kreatif serta pembangunan masyarakat.
Dalam konteks itu katanya, jabatan berkenaan akan memainkan peranan strategik dalam mempercepatkan transformasi digital perkhidmatan kerajaan, memperkukuh ekosistem inovasi negeri, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital Sabah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu serta seluruh warga jabatan atas komitmen dan sumbangan sepanjang 50 tahun penubuhannya.
“Dengan pengalaman dan legasi yang kukuh, saya yakin jabatan ini mampu terus memacu perubahan lebih besar serta memperkukuhkan keupayaan digital kerajaan demi manfaat rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga jabatan atas penjenamaan semula tersebut dan berharap ia terus memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Sabah Maju Jaya.



