Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Sebanyak 71.3 tan lebihan makanan berjaya diselamatkan sepanjang Ramadan tahun ini menerusi pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) yang digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama pelbagai rakan strategik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan bersepadu dalam mengurangkan pembaziran makanan selain membantu golongan memerlukan di seluruh negara.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 2.6 tan makanan berjaya diselamatkan di Sabah dan diagihkan kepada komuniti yang memerlukan.
“Sepanjang Ramadan lalu, program i-FB@Bazar Ramadan 2026 telah dilaksanakan di 119 bazar seluruh negara dengan penglibatan seramai 2,875 sukarelawan.
“Usaha ini bukan sahaja meminimumkan pembaziran makanan, malah membantu memelihara alam sekitar melalui pengurangan pelepasan karbon dioksida serta lambakan sisa di tapak pelupusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) Santuni Komuniti @ Dapur Kita-Kita Bersama KPDN, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Armizan berkata KPDN terus memperkukuh kerjasama dengan pelbagai rakan strategik termasuk pihak industri, peniaga, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan komuniti serta institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memperluas pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Katanya, antara rakan strategik yang terlibat ialah Jetsin Sdn Bhd, Persatuan Jurumasak Sabah, Persatuan Dapur Kita Sabah serta kumpulan sukarelawan termasuk mahasiswa IPT di sekitar Kota Kinabalu.
“Penyertaan Jetsin Sdn Bhd bersama rakan strategik seperti Persatuan Jurumasak Sabah dan Persatuan Dapur Kita Sabah disasarkan dapat memperkukuh pelaksanaan program ‘Dapur Kita-Kita’, iaitu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang dilaksanakan sejak Disember 2024.
“Melalui inisiatif i-FB@Dapur Kita-Kita, sebanyak 200 pek makanan bermasak diagihkan kepada golongan memerlukan dengan penglibatan aktif pelbagai pihak,” katanya.
Tambah beliau, kementerian melalui Sekretariat Inisiatif i-FB di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) kini sedang merangka Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan bagi memperkasa pelaksanaan inisiatif tersebut secara lebih menyeluruh.
Katanya, pelan itu turut merangkumi cadangan bentuk pengiktirafan kepada pihak yang menunjukkan komitmen berterusan dalam menjayakan program berkenaan.



