HomeUtamaPolis bantu KPDN kawal ketirisan di stesen minyak sempadan dan berisiko tinggi

Polis bantu KPDN kawal ketirisan di stesen minyak sempadan dan berisiko tinggi

Read Time:1 Minute, 35 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan bersetuju menempatkan anggota polis di stesen minyak berhampiran sempadan dan kawasan berisiko tinggi sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan bahan api.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April lalu sebagai peluasan kepada penempatan statik penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurutnya, langkah berkenaan diambil susulan peningkatan risiko ketirisan petrol dan diesel akibat krisis tenaga global yang tercetus daripada konflik di Asia Barat.

“Sejak 20 Mac 2026, penguat kuasa KPDN telah ditempatkan secara berkala di stesen minyak di kawasan sempadan seluruh negara.

“Bagaimanapun, hasil pembentangan laporan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), mendapati terdapat keperluan untuk memperluaskan pemantauan statik ke seluruh stesen minyak berhampiran sempadan dan kawasan berisiko tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) Santuni Komuniti @ Dapur Kita-Kita Bersama KPDN, di sini, hari ini.

Armizan berkata, penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat diperlukan bagi menampung kekangan jumlah anggota penguat kuasa KPDN serta memastikan pemantauan lebih menyeluruh terhadap status bekalan dan harga barangan di seluruh negara.

“Krisis tenaga semasa turut memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan dan barangan, khususnya melibatkan sumber import, justeru pemantauan lebih rapi perlu dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan penempatan statik itu telah dimulakan menerusi fasa pertama dari 20 Mac hingga 10 April lalu membabitkan 87 stesen minyak.

“Fasa kedua pula akan bermula minggu depan dengan tambahan 70 stesen minyak yang turut melibatkan penugasan anggota polis.

“Kita akan terus memantau risiko serta keperluan untuk memperluaskan pelaksanaan ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Dalam Negeri bagi mempertimbangkan penglibatan sukarelawan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam operasi pemantauan secara statik di stesen minyak.

RELATED ARTICLES
Utama

Lebih 1,500 peserta sertai Riadah Perpaduan Bersama TYT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular