Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Usaha pemuliharaan marin di Sabah mencipta satu lagi pencapaian membanggakan apabila Program Restorasi Terumbu Karang di Taman Tun Mustapha (TTM) berjaya menanam sebanyak 12,000 fragmen terumbu karang.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, kejayaan itu turut mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai antara inisiatif restorasi terumbu karang berskala besar di negara ini.
Beliau berkata, usaha itu merupakan antara inisiatif utama yang dilaksanakan Taman-Taman Sabah (TTS) menerusi 214 program dan acara yang direkodkan sepanjang kalender peristiwa TTS pada tahun lalu.
“Program itu dilaksanakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, komuniti setempat serta pemegang taruh industri, sekali gus mencerminkan pendekatan inklusif dalam memelihara khazanah biodiversiti marin Sabah.
“Selain program itu,TTS buat julung kalinya telah berjaya menganjurkan Persidangan Jaringan Geopark Malaysia, yang memperkukuh jaringan kerjasama serta perkongsian ilmu dalam kalangan pakar dan agensi berkaitan di peringkat nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan 2025 Lembaga Pemegang Amanah TTS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Jumaat.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah TTS Datuk Peter Lintar dan Pengarah TTS Datuk Dr Maklarin Lakim.
Jafry berkata, TTS turut berjaya melaksanakan ekspedisi aras tinggi Everest Base Camp (EBC), Nepal, melibatkan seramai lima orang kakitangan TTS pada 22 Oktober hingga 5 November tahun lalu.
“Pencapaian utama ini bukan sahaja mencerminkan kecekapan pengurusan, tetapi juga inovasi dan komitmen tinggi dalam memperkasa agenda pemuliharaan dan pendidikan alam sekitar selaras dengan halatuju Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
Sementara itu, Jafry berkata, dalam mendepani cabaran semasa, TTS akan terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti selaras dengan komitmen global.
Katanya, ia termasuklah rangka kerja biodiversiti antarabangsa dan sasaran perlindungan kawasan yang lebih inklusif dan berkesan.
“Dalam masa yang sama, kita menjangkakan peningkatan ketara jumlah pelancong menjelang tahun 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia.
“Justeru, pendekatan pengurusan taman perlu lebih strategik, berasaskan data, serta berteraskan prinsip kelestarian, agar keindahan alam dapat terus dinikmati tanpa menjejaskan integriti ekosistem taman,” katanya. – SABAH MEDIA



