HomeUtamaSabah berpotensi jadi hab EV serantau

Sabah berpotensi jadi hab EV serantau

Read Time:1 Minute, 45 Second

KUALA LUMPUR: Seorang usahawan kelahiran Lahad Datu menyasarkan Sabah muncul sebagai hab kenderaan elektrik (EV) komersial serantau, sekali gus menyokong agenda mobiliti hijau negara serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Pengasas New Energy Valley Sdn Bhd, Andrew Thu, 52, berkata inisiatif itu digerakkan berasaskan kesedaran terhadap isu perubahan iklim serta keperluan mendesak untuk mengurangkan pencemaran udara.

Menurutnya, pembangunan jenama EV komersial tempatan telah dimulakan sejak 2023 dengan fokus memperkukuh keupayaan teknologi kenderaan mesra alam dalam negara.

“Sebahagian besar pencemaran udara berpunca daripada kenderaan komersial seperti lori dan sektor logistik yang beroperasi hampir sepanjang masa. Peralihan kepada EV dalam sektor ini mampu memberi impak besar,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata Sabah mempunyai kelebihan tersendiri untuk dibangunkan sebagai hab industri EV, termasuk keluasan tanah serta kedudukan strategik dalam rantaian bekalan serantau.

Tambahnya, kerjasama strategik dengan syarikat dari China yang memiliki kepakaran dalam teknologi EV dilihat mampu mempercepat pembangunan industri berkenaan di negeri itu.

“China antara peneraju utama teknologi EV dunia. Kerjasama ini boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh pembangunan industri tempatan, khususnya di Sabah,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berpandangan inisiatif tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan pelepasan karbon, malah berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi negeri.

Andrew turut memaklumkan pihaknya telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak berkepentingan di Sabah bagi menilai potensi pelaksanaan projek serta mendapatkan sokongan kerajaan negeri.

Sementara itu, perkembangan industri EV di Sabah menunjukkan tanda positif apabila stesen pengecas EV awam pertama diperkenalkan di Kota Kinabalu, sebagai langkah awal membangunkan ekosistem mobiliti hijau negeri.

Selain itu, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) turut memperkenalkan garis panduan berkaitan pembangunan stesen pengecas kenderaan elektrik bagi memastikan pelaksanaan infrastruktur EV dilaksanakan secara teratur dan berkesan.

Di peringkat nasional, kerajaan menyasarkan pembangunan 10,000 stesen pengecas EV menjelang 2025 sebagai usaha mempercepat peralihan kepada mobiliti rendah karbon serta menarik pelaburan dalam industri berkenaan.

Menurut Andrew, dengan sokongan padu kerajaan negeri, Sabah berpotensi muncul sebagai hab EV komersial pemanduan sebelah kanan yang mampu menembusi pasaran serantau termasuk Indonesia, Filipina, Australia dan New Zealand.

Beliau optimis usaha itu mampu meletakkan Sabah sebagai antara pemain utama dalam industri mobiliti hijau di Asia Tenggara pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
Utama

Restorasi terumbu karang di TTM raih pengiktirafan MBOR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular