KOTA KINABALU: Pelbagai langkah telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan isu ketidakselesaan pembelajaran murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran, dapat ditangani.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Datuk Raisin Saidin, berkata antara langkah yang diambil termasuk penyelenggaraan blok bangunan yang telah dikenal pasti di SK Sungai Nangka bagi tujuan menempatkan murid SK Balaban Jaya.
“Pada mulanya, kami melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), namun ibu bapa kurang selesa kerana penglibatan murid agak terhad.
“Justeru, kami mengadakan sesi libat urus bersama ibu bapa dan mereka bersetuju menggunakan masjid kampung serta balai raya sebagai tempat pembelajaran sementara. Perkara ini diketahui oleh ibu bapa dan merupakan tindakan terbaik pada ketika itu.
“Dalam masa yang sama, kami mengenal telah kenal pasti SK Sungai Nangka… Ada tiga blok bangunan di SK Sungai Nangka yang boleh diselenggara segera. Selepas kerja penyelenggaraan siap, murid SK Balaban Jaya akan dipindahkan ke sekolah tersebut, manakala murid SMK Balaban Jaya juga boleh menggunakan bangunan sama pada sesi petang. Jadi, penyelesaiannya memang sudah ada,” katanya.
Menurutnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan JPN Sabah telah membuat anggaran perbelanjaan dan peruntukan bagi kerja penyelenggaraan tersebut telah diterima oleh JPN Sabah.
Raisin berkata kerja penyelenggaraan akan diiklankan pada Mei ini, manakala Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada Jun.
Raisin menegaskan bahawa sejak murid SK Balaban Jaya mula belajar di lokasi pembelajaran sementara pada 20 Januari lalu, perbincangan telah dilaksanakan dengan beberapa pihak.
“Kami telah memaklumkan perkara ini kepada Ketua Setiuasaha KPM… Kami sudah bincang pelbagai pendekatan dan akhirnya pendekatan yang terbaik ialah menyelenggara bangunan di SK Sungai Nangka,” katanya.
Terdahulu, tular isu mengenai masalah yang dihadapi murid SK Balaban Jaya yang terpaksa belajar di lokasi pembelajaran sementara yang kurang selesa susulan keadaan bangunan sekolah yang retak dan tidak selamat untuk digunakan.
Untuk rekod, SK Balaban Jaya mempunyai lebih 100 pelajar Tahun Satu hingga Tahun Enam.
KPM dalam satu kenyataan pada berkata, tindakan segera yang akan diambil termasuk memindahkan sementara murid ke SK Pekan Beluran serta menyediakan pengangkutan ke sekolah berkenaan.
LINK BERITA TERDAHULU:
https://sabahmedia.com/2026/04/11/murid-sk-balaban-jaya-dipindah-ke-sk-pekan-beluran-kpm/



