KOTA KINABALU: Dua lelaki maut dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta di Jalan UMS berhampiran Mini Putrajaya, kira-kira jam 4.40 pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun serta motosikal Yamaha Y15 yang dinaiki dua individu.
Menurutnya, kenderaan Proton Saga itu dilaporkan bergerak dari arah Sepanggar menuju ke Alam Mesra sebelum membuat pusingan U di lampu isyarat Mini Putrajaya dan meneruskan perjalanan di lorong tengah.
“Bagaimanapun, sebuah motosikal dari arah sama dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terjatuh di lorong tengah jalan manakala pembonceng tercampak ke bahu kiri jalan.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II.
“Identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan usaha mengesan waris sedang giat dijalankan,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Kedua-dua kenderaan terlibat telah ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut oleh polis dan agensi berkaitan.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, memandu secara berhemah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.
“Penunggang motosikal juga diingatkan supaya tidak menunggang secara berbahaya atau dalam keadaan laju yang boleh mengundang risiko kemalangan,” katanya.



