HomeUtamaInkues Zara: Penemuan Phenytoin tidak ubah punca kematian

Inkues Zara: Penemuan Phenytoin tidak ubah punca kematian

Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu bahawa tanpa rekod rawatan perubatan lengkap, sukar untuk menentukan punca kehadiran fenitoin (phenytoin) yang dikesan dalam tisu buah pinggang Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Perkara itu dinyatakan saksi ke-68 inkues, pakar patologi forensik kanan, Datuk Sei Dr Bhupinder Singh Jeswant Singh, ketika menjawab soalan peguam Datuk Ram Singh mengenai dapatan toksikologi tersebut.

Menurut Dr Bhupinder, phenytoin lazimnya digunakan untuk merawat epilepsi atau kecederaan otak traumatik yang teruk.

“Adakah phenytoin dimasukkan ke dalam badannya semasa beliau sedang menjalani rawatan? Tiada sebarang catatan untuk dirujuk bagi mengetahui apa yang diberikan kepadanya sepanjang rawatan di wad.

“Adakah beliau menerima rawatan untuk epilepsi? Saya tidak tahu….

“Namun penemuan phenytoin tidak mengubah punca kematian dalam kes ini. Ia hanyalah penemuan sampingan, seperti yang lazimnya ditemui dalam pemeriksaan bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam Datuk Rizwandean M Borhan yang mewakili ibu Zara, Dr Bhupinder menjelaskan bahawa kenyataan beliau mengenai phenytoin dalam pernyataan saksi adalah bertujuan mencadangkan kepada mahkamah supaya mendapatkan maklumat tersebut kerana maklumat itu tidak tersedia.

“Ia merupakan cadangan dalam kenyataan saya supaya kita boleh menyiasat dari mana ubat itu datang. Adakah pesakit telah mengambilnya sebelum ini atau ubat itu diberikan kepadanya? Itu sahaja. Saya tidak mengatakan pesakit menerima rawatan epilepsi. Ia sekadar untuk membantu mahkamah.

“Saya berada di sini untuk membantu mahkamah, jadi biarlah direkodkan bahawa saya tidak menyebelahi mana-mana pihak. Saya hanya datang untuk membantu mahkamah memahami kemungkinan situasi yang berlaku. Itu sahaja,” katanya.

Saksi turut menjelaskan bahawa tanpa rekod perubatan lengkap arwah, adalah sukar untuk menentukan sama ada ubat tersebut diberikan sebagai rawatan semasa kemasukan ke hospital.

Pada September tahun lepas, Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (QEH) Dr Jessie Hiu memberi keterangan bahawa bedah siasat terhadap jenazah Zara tidak mengesan sebarang ubat lazim (common drug) dalam anggota tubuh arwah, namun, terdapat Phenytoin dikesan dalam tisu buah pinggang.

Media juga pernah melaporkan seorang pakar bedah saraf dan seorang pegawai perubatan dari Jabatan Kecemasan dan Trauma QEH memberi keterangan bahawa tiada Phenytoin diberikan kepada Zara sepanjang syif mereka.

Ram, yang mewakili salah seorang pelajar yang didakwa dalam kes berkaitan kematian Zara, memohon di hadapan Koroner agar pegawai pengendali  rekod berkaitan penemuan phenytoin tersebut.

RELATED ARTICLES
Utama

PKR hanya calonkan individu dari cabang aktif, ada kekuatan anggota –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular