HomeUtamaKPDN Sabah gagalkan cubaan seleweng minyak diesel

KPDN Sabah gagalkan cubaan seleweng minyak diesel

Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU : Cubaan seorang lelaki mengisi minyak diesel bersubsidi secara tidak sah gagal apabila kegiatannya berjaya dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah dalam satu operasi di bawah Ops Tiris 4.0 pada Jumaat lalu.

Serbuan yang dijalankan di sebuah stesen minyak di Penampang itu adalah hasil risikan dan pemantauan rapi pihak penguat kuasa KPDN terhadap aktiviti mencurigakan di sekitar kawasan tersebut.

Pengarah KPDN Sabah Shahril Nizam Shahidin berkata, dalam operasi, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an didapati sedang mengisi minyak diesel ke dalam tangki tambahan yang diubah suai pada sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Trooper.

Beliau berkata, tindakan itu dipercayai melanggar had pembelian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Pengarah KPDN Sabah Shahril Nizam Shahidin

“Pemeriksaan lanjut turut menemui sebuah tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi kira-kira 249 liter diesel, dipercayai untuk tujuan penyelewengan.

“Susulan itu, pihak KPDN telah menyita kenderaan terbabit bersama beberapa peralatan lain termasuk pam elektrik, hos getah dan resit pembelian. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM12,897.35,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Shahril berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, KPDN mengalu-alukan kebersamaan dan partisipasi awam termasuk dalam menyalurkan maklumat berkaitan.

“Namun, masyarakat diingatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat, serta tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan situasi panik dan kegusaran awam.

“Sebarang perbuatan menyebarkan maklumat palsu atau tidak tepat boleh dikenakan tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pakar forensik setuju kecederaan Zara konsisten jatuh dari tempat tinggi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular