KOTA KINABALU: Acara menembak bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 menjadi platform memperkukuh hubungan strategik antara kepimpinan tertinggi negeri dan pasukan keselamatan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, program itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah memperkukuh kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan dan kepimpinan negeri.
“Program seperti ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memupuk semangat setiakawan, disiplin serta ketangkasan dalam kalangan pasukan keselamatan.

“Selain itu, ia juga satu penghormatan besar kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah sempena ulang tahun kelahiran rasmi ke-75 Tun Musa selaku Yang di-Pertua Negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program yang berlangsung di Lapang Sasar Tertutup, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini.
Sementara itu, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris muncul johan kategori 15 meter dengan markah penuh 100 mata, manakala Datuk Limus Jury menjuarai kategori 25 meter dengan 73 mata.
Tun Musa turut menerima Anugerah Penembak Terbaik pada program sulung berkenaan.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib; Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya; serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab.



