PAPAR: Seramai 42,808 calon di Sabah mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 yang berlangsung selama hampir sebulan bermula hari ini hingga 17 Disember depan.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Abidin Marjan berkata, kesemua calon berkenaan akan menduduki peperiksaan di 324 pusat peperiksaan di seluruh negeri.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 37,629 calon terdiri daripada sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
Katanya, selebihnya membabitkan 448 calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), 163 calon sekolah agama negeri, 1,226 calon sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta 3,342 calon persendirian.
“Selamat berjaya dengan cemerlang kepada semua anak bangsa kita di Negeri Sabah yang tercinta ini,” katanya ditemui media sempena tinjauan pelaksanaan peperiksaan SPM 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majakir, Papar, di sini pada Isnin.
Menurutnya, seramai 13,291 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar di seluruh Sabah, termasuk guru serta sukarelawan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ketika hadir ke pusat peperiksaan selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta segala peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran peperiksaan.
Beliau turut mengingatkan pengetua dan guru supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai tarikh, waktu, kod kertas, kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi.
Dalam pada itu, beliau berharap semua calon dapat memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang tempoh peperiksaan serta memanfaatkan segala persediaan yang dilakukan sebelum ini. – SABAH MEDIA



