KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan rasa simpati kepada semua mangsa terjejas akibat banjir di Tawau serta beberapa kawasan sekitarnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri sedang menggerakkan usaha menyeluruh bagi membantu penduduk yang terkesan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri memandang serius situasi banjir berkenaan dan telah mengarahkan semua agensi berkaitan supaya menggerakkan sepenuhnya aset serta tenaga bagi mempercepatkan operasi menyelamat dan pemindahan mangsa.
Katanya, arahan itu turut meliputi pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) serta penyaluran bantuan kepada penduduk yang terjejas bagi memastikan segala keperluan asas dapat disampaikan dengan segera.
“Saya ingin merakamkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terjejas akibat banjir yang melanda Tawau serta beberapa kawasan sekitarnya.
“Kerajaan Negeri memandang serius situasi ini. Saya telah mengarahkan semua agensi berkaitan untuk menggerakkan segala aset dan tenaga bagi mempercepatkan operasi menyelamat, pemindahan mangsa, pengurusan PPS serta penyaluran bantuan kepada penduduk yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan.
Hajiji berkata, keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini adalah memastikan keselamatan nyawa rakyat sentiasa terpelihara di samping memastikan semua mangsa menerima bantuan dan keperluan asas tanpa kelewatan.
Beliau turut mengingatkan penduduk di kawasan yang terjejas serta kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada terhadap perkembangan cuaca dan mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Katanya, penduduk juga diminta segera berpindah ke lokasi yang lebih selamat sekiranya diarahkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Saya menyeru semua penduduk di kawasan yang terjejas dan berisiko agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta segera berpindah sekiranya diarahkan demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berharap keadaan banjir dapat kembali pulih dalam masa terdekat dan mendoakan agar semua mangsa diberikan ketabahan serta dipermudahkan segala urusan.
Beliau turut mendoakan agar seluruh anggota pasukan penyelamat sentiasa diberikan kekuatan, kesihatan dan keselamatan dalam melaksanakan tugas membantu mangsa banjir di kawasan terjejas.
Jawatankuasa Bencana Alam Tawau mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana pada jam 8.30 pagi hari ini selepas beberapa kawasan perumahan di Tanjung Batu Keramat, Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Taman Sunshu dan Taman Sri Balung dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Jawatankuasa itu juga sedang mengumpulkan maklumat mengenai jumlah mangsa yang terjejas bagi tujuan pemindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS), jika perlu.
Sehingga jam 11 pagi hari ini, sebuah PPS telah dibuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau yang menempatkan 96 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan 335 mangsa.



