TENOM: Daerah Tenom bakal menjadi tumpuan pelbagai acara sukan, pertanian, perikanan dan pelancongan sepanjang Ogos hingga November ini, sekali gus dijangka merancakkan ekonomi setempat serta menarik lebih ramai pengunjung.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sambutan memberangsangkan terhadap penganjuran Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala MABA–MATRIX Kali Ke-30 Tahun 2026 membuktikan Tenom mempunyai potensi besar sebagai lokasi penganjuran acara bertaraf kebangsaan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, kejohanan yang julung kali diadakan di Tenom itu menerima sambutan luar biasa daripada peminat bola keranjang.
“Bagi pihak warga Tenom, kita mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dan Persatuan Bola Keranjang Sabah (SABA) kerana memilih Tenom sebagai tuan rumah kejohanan kebangsaan ini.
“Ini merupakan kali pertama kejohanan bola keranjang kebangsaan diadakan di Tenom dan sambutannya amat menggalakkan. Kita berharap lebih banyak kejohanan seumpama ini dapat dibawa ke Tenom pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala MABA–MATRIX Kali Ke-30 Tahun 2026 di sini, pada Jumaat.
Jamawi berkata, pelbagai program telah dirancang sepanjang empat bulan akan datang bagi memperkukuh sektor sukan, pertanian, perikanan dan pelancongan di daerah itu.
Menurutnya, Tenom akan menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 Tahun Peringkat Negeri Sabah dari 3 hingga 7 Ogos.
Katanya, Taman Pertanian Sabah pula akan menganjurkan Pesta Bunga pada 12 hingga 20 September, diikuti Program Cintai Sungai Peringkat Negeri pada 26 September.
“Pada Oktober, Tenom akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan serta Program Perkhemahan Peringkat Negeri Sabah.
“Seterusnya, Pesta Makanan akan diadakan pada November sebagai penutup kepada siri program yang telah dirancang.
“Kita berharap semua program ini bukan sahaja memeriahkan daerah Tenom, malah mampu merancakkan ekonomi tempatan menerusi peningkatan kehadiran pengunjung serta aktiviti perniagaan,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Presiden Persatuan Bola Keranjang Sabah, Phan Chee Yong; dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Chu Cheong Sin.



