KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menggerakkan 24 aset daripada Armada Timur dan Armada Barat dalam Eksesais KERISMAS Siri 29/26 sebagai manifestasi kesiagaan angkatan laut negara dalam mempertahankan kedaulatan serta kepentingan maritim Malaysia.
Latihan tahunan berskala besar yang berlangsung dari 28 Julai hingga 16 Ogos itu bertujuan memperkukuhkan kesiagaan operasi, meningkatkan keupayaan tempur serta memastikan pertahanan perairan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Majlis pembukaan eksesais berkenaan disempurnakan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris yang mewakili Panglima Tentera Laut. Turut hadir Panglima Armada Barat, Panglima 5 Divisyen, panglima-panglima formasi, pegawai memerintah serta pegawai kanan TLDM sama ada secara fizikal mahupun menerusi sidang video.
Dalam ucapan perasmiannya, Khir berkata kekuatan sesebuah angkatan laut bukan hanya diukur berdasarkan jumlah kapal perang atau kecanggihan sistem persenjataan, sebaliknya bergantung kepada keupayaan setiap warga TLDM mengendalikan aset secara profesional, membuat keputusan tepat, bertindak pantas serta beroperasi sebagai satu pasukan yang mantap.
Menurut beliau, Eksesais KERISMAS Siri 29/26 menjadi platform utama untuk menguji kesiagaan armada, memperkukuhkan kerjasama operasi dan meningkatkan keupayaan TLDM menghadapi pelbagai bentuk ancaman maritim.
Beliau turut menegaskan bahawa latihan itu menjadi medan penting untuk memperkukuhkan kesedaran situasi maritim (Maritime Domain Awareness), meningkatkan disiplin pelaporan, mempercepatkan perkongsian maklumat operasi serta mengukuhkan koordinasi antara markas, gugus tugas dan aset TLDM.
Selain menguji doktrin serta prosedur operasi, latihan berkenaan turut memberi penekanan kepada aspek interoperabiliti, iaitu keupayaan semua aset dan formasi TLDM beroperasi secara bersepadu walaupun berada di bawah pemerintahan yang berbeza. Pendekatan itu diyakini mampu meningkatkan keberkesanan operasi dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim yang semakin kompleks.
Eksesais KERISMAS Siri 29/26 mencerminkan komitmen berterusan pasukan itu dalam membangunkan sebuah angkatan laut yang kredibel, berkeupayaan, profesional dan sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan serta kepentingan maritim negara.
Menerusi latihan yang realistik dan mencabar, TLDM akan terus memperkukuhkan budaya kesiagaan, kesepaduan serta kecemerlangan operasi agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang bentuk ancaman demi menjamin keselamatan perairan negara.



