Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seramai 14 warga asing dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
Kesemua warga asing itu terdiri daripada warga Filipina, Indonesia dan Pakistan.
Dua daripada mereka mengaku bersalah kerana tinggal lebih masa di Sabah mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Seorang warga Pakistan didenda RM10,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda, manakala seorang lagi tertuduh warga Indonesia dipenjara 12 bulan bermula dari tarikh tangkapan.
Selebihnya mengaku bersalah memasuki Sabah tanpa pas yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tujuh daripadanya dipenjara empat bulan bermula dari tarikh tangkapan, manakala lima lagi didenda RM4,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan kesemua 14 tertuduh yang ditahan di sekitar Kota Kinabalu dan Sipitang dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan selanjutnya selepas selesai menjalani hukuman.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Norhayati Abdul Hari di hadapan Hakim Hurman Hussain.



