HomeUtamaJamawi puas hati kemajuan projek agensi MAFFI di Tuaran

Jamawi puas hati kemajuan projek agensi MAFFI di Tuaran

Read Time:1 Minute, 59 Second

TUARAN: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berpuas hati dengan kemajuan pelaksanaan pelbagai projek dan aktiviti jabatan serta agensi di bawah kementeriannya selepas mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi di daerah itu pada Khamis.

Lawatan itu melibatkan projek Jabatan Perikanan, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan Ko-Nelayan sebelum beliau menghadiri Majlis Sanjungan Budi bagi meraikan mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Datuk Jumain Abdul Ghani yang kini bertukar ke Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP).

Jamawi memulakan lawatan di Pusat Semaian Anak Benih LIGS yang menawarkan pelbagai jenis benih buah-buahan pada harga kompetitif. Beliau kemudian melawat Pusat Latihan, Pusat Ternakan dan Kolam Pancing Ko-Nelayan di Kampung Laya-Laya, diikuti Pusat Pembenihan Ikan Marin Jabatan Perikanan di kampung sama serta Pusat Ternakan Ikan Dalam Sangkar milik Ko-Nelayan di Kampung Terayong.

Beliau berkata, usaha yang dilaksanakan jabatan dan agensi di bawah MAFFI menunjukkan kementerian berada pada landasan tepat untuk memacu ekonomi negeri, terutama ketika berdepan cabaran global yang semakin mencabar.

“Situasi di Asia Barat yang masih tidak menentu mengingatkan kita tentang pentingnya memperkukuhkan keselamatan makanan serta meningkatkan pengeluaran hasil perikanan dan sumber laut yang mampu diusahakan oleh nelayan tempatan,” katanya.

Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga jabatan dan agensi atas komitmen mereka dalam memperkasakan sektor pertanian, perikanan, ternakan dan industri makanan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri kini sedang memuktamadkan Dasar Pertanian Negeri Sabah 2026-2030 yang dijadual dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sempena Hari Penternak, Peladang dan Nelayan di Tenom pada Oktober depan.

Menurutnya, dasar itu akan menjadi hala tuju pembangunan sektor pertanian, ternakan, perikanan, industri makanan serta industri getah di Sabah bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menyentuh isu BUDI Diesel, Jamawi berkata, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Khas telah mengemukakan secara rasmi semua maklum balas dan cadangan penambahbaikan yang diterima daripada kementerian, agensi, pemain industri serta masyarakat kepada Kementerian Kewangan.

Katanya, perkara itu telah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri baru-baru ini dan Kementerian Kewangan memohon tempoh kira-kira dua hingga tiga minggu bagi meneliti semua rayuan serta cadangan penambahbaikan BUDI Diesel khusus untuk Sabah sebelum keputusan dimuktamadkan.

Selepas lawatan kerja itu, Jamawi menghadiri Majlis Sanjungan Budi bagi meraikan Jumain yang akan meneruskan perkhidmatannya di KKTP.

Turut hadir Pembantu Menteri I dan II, Datuk Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Ts. Jifrin Mohamad; timbalan setiausaha tetap, ketua jabatan serta pegawai kementerian.

RELATED ARTICLES
Utama

14 warga asing dipenjara, didenda langgar Akta Imigresen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular