Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana memiliki senjata berbahaya, iaitu sebilah pedang, tanpa maksud yang sah.
Ho Pui San, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir @ Fisal.
Mengikut pertuduhan, Ho didakwa tanpa maksud yang sah memiliki senjata berjadual iaitu sebilah pedang di hadapan sebuah rumah tidak bernombor berhadapan JNT Express Manggatal, kira-kira jam 3.50 pagi pada 3 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya 1958 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 7(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan deposit RM3,000 serta dua penjamin tempatan.
Mahkamah kemudian menetapkan 22 September depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadzri Azham Zainudin, manakala tertuduh diwakili peguam Lawrence Lim.



