HomeUtamaKOPEKS rancang usaha tanah terbiar di Beaufort dengan tanaman kelapa

KOPEKS rancang usaha tanah terbiar di Beaufort dengan tanaman kelapa

Read Time:1 Minute, 57 Second

KOTA KINABALU : Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) merancang untuk memajukan dua lot tanah miliknya di Beaufort menerusi projek tanaman kelapa sebagai usaha menjana sumber pendapatan baharu dan memperkukuh kedudukan ekonomi koperasi.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sabah, Awang Rusli Mohammad, berkata langkah itu merupakan antara strategi baharu yang sedang dirangka oleh KOPEKS bagi memanfaatkan aset-aset tanah milik koperasi yang sebelum ini belum dibangunkan secara optimum.

Awang Rusli

Beliau berkata, kedua-dua lot tanah berkenaan dikenal pasti mempunyai potensi yang sesuai untuk pembangunan tanaman kelapa yang mampu memberikan pulangan jangka panjang kepada koperasi.

“Pengerusi KOPEKS memaklumkan bahawa koperasi akan mula mengusahakan tanah-tanah yang selama ini terbiar. Kita mempunyai dua bidang tanah di Beaufort yang bersesuaian untuk tanaman kelapa dan perancangan untuk memulakan projek tersebut sedang dibuat.

“Ini akan membuka ruang dan peluang baharu kepada KOPEKS untuk meneroka sektor pertanian serta memajukan aset tanah yang dimiliki,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke KOPEKS di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi KOPEKS Datuk Dr Awang Saat Damit

Awang Rusli berkata, usaha memajukan tanah tersebut selari dengan hasrat koperasi untuk mempelbagaikan aktiviti perniagaan dan tidak hanya bergantung kepada sumber pendapatan sedia ada.

Menurutnya, sektor pertanian mempunyai potensi besar untuk diterokai oleh gerakan koperasi memandangkan permintaan terhadap produk berasaskan kelapa terus berkembang dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

“Melalui projek ini, KOPEKS bukan sahaja dapat menjana pendapatan baharu, malah berupaya meningkatkan nilai aset tanah yang dimiliki serta membuka peluang ekonomi yang lebih luas pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Awang Rusli berkata, selain dua lot tanah di Beaufort, KOPEKS turut memiliki beberapa kawasan tanah lain yang sedang dikenal pasti untuk pembangunan berimpak tinggi.

Katanya, pihak koperasi juga sedang meneliti peluang pembangunan dalam sektor perumahan dan komersial bagi memastikan aset-aset milik koperasi dapat dimanfaatkan secara lebih produktif.

“Tanah adalah antara aset penting yang dimiliki koperasi. Jika diurus dan dibangunkan dengan baik, ia mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi koperasi serta memberikan manfaat yang lebih besar kepada anggota,” katanya.

Beliau yakin projek tanaman kelapa yang dirancang itu mampu menjadi titik permulaan kepada penglibatan lebih aktif KOPEKS dalam sektor pertanian komersial, sekali gus mengukuhkan kedudukan koperasi sebagai antara koperasi terkemuka di Sabah.

Dalam masa sama, beliau berharap perancangan pembangunan tanah yang sedang dirangka dapat dilaksanakan secara berperingkat dan memberi pulangan mampan kepada koperasi serta lebih ramai anggotanya pada masa hadapan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bekas pegawai adat antara empat direman berhubung rasuah jual beli tanah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular