KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung sokongan terhadap penyatuan semula Taiwan dengan China secara kekerasan disifatkan sebagai tidak wajar, berbahaya, dan terlalu memudahkan isu sebenar.
Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming berkata, kenyataan Anwar dalam satu temu bual bersama wartawan Al Jazeera, Sreenivasan Jain yang disiarkan di YouTube pada 17 Ogos lepas, telah mengundang perhatian antarabangsa yang memberi imej negatif kepada Malaysia.
Menurut beliau, sokongan terbuka Anwar terhadap tindakan kekerasan itu adalah tidak wajar dan bercanggah dengan pendirian dasar luar Malaysia.
Beliau menjelaskan bahawa Malaysia selama ini mengambil pendekatan seimbang sama ada memilih untuk berdiam diri berhubung kaedah penyatuan semula, atau hanya menyokong “penyatuan semula secara aman”.
“Kenyataan ini akan ditafsirkan oleh banyak pihak, termasuk penggubal dasar dari Amerika Syarikat dan China, bahawa Malaysia telah memilih untuk ‘condong’ kepada satu pihak dalam persaingan geopolitik ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menyentuh aspek ekonomi, Dr Ong memberi amaran bahawa kenyataan tersebut sangat berbahaya kerana berpotensi merisikokan perdagangan dan pelaburan bernilai berbilion ringgit, khususnya dalam sektor semikonduktor.
Hal ini didorong oleh rekod kemasukan pelaburan ke Malaysia hasil daripada strategi pempelbagaian risiko ‘Taiwan + One’ yang diterima pakai oleh banyak syarikat negara tersebut.
Pada 2025, Taiwan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan mencecah RM230 bilion, selain muncul sebagai pelabur asing kelapan terbesar dengan kelulusan pelaburan melebihi RM4 bilion.
Kenyataan Anwar itu turut mengundang reaksi tegas daripada Kementerian Luar Negeri Taiwan yang memberi amaran bahawa sokongan berat sebelah kepada China boleh memberi impak negatif terhadap keyakinan perniagaan Taiwan untuk melabur di Malaysia, sentimen yang turut dipersetujui oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Taiwan di Malaysia (TCCIM).
Selain itu, Dr Ong menyifatkan perbandingan yang dibuat oleh Perdana Menteri antara situasi China-Taiwan dengan mana-mana ‘wilayah’ di Malaysia yang ingin berpisah sebagai pandangan yang terlalu mudah.
Beliau menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 1963, sentiasa terlibat dalam pilihan raya, dan isu pemisahan tidak pernah dibincangkan secara serius di negara ini.
“Harapan saya agar isu ini reda dengan cara yang tidak menjejaskan kepentingan ekonomi dan politik Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.
“Nasihat ikhlas saya kepada Anwar Ibrahim adalah supaya beliau mempersiapkan diri dengan lebih rapi untuk temu bual seumpama ini pada masa akan datang.
“Tanpa persediaan yang mencukupi dan pembacaan nota taklimat yang diberikan, adalah lebih baik bagi beliau untuk menolak temu bual seperti ini,” katanya.



