KOTA KINABALU: Lima kawasan di Sabah kini berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) susulan peningkatan suhu maksimum harian yang direkodkan sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, kawasan terbabit ialah Telupid, Tenom, Sandakan, Pitas dan Beluran.
Tahap 1 atau Berjaga-Jaga ditetapkan apabila suhu maksimum harian berada antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Secara keseluruhan, enam belas kawasan di seluruh negara kini berada pada tahap berkenaan, dengan 10 kawasan di Semenanjung dan satu kawasan di Sarawak.
Di Semenanjung, kawasan yang direkodkan berada pada Tahap 1 ialah Larut dan Matang, Kuala Kangsar, Kampar dan Batang Padang di Perak; Kuala Krai di Kelantan; serta Kuantan, Raub, Temerloh dan Pekan di Pahang dan Gombak di Selangor.
Sementara itu, Marudi merupakan satu-satunya kawasan di Sarawak yang berada pada Tahap 1.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berada di kawasan yang mengalami peningkatan suhu.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian menerusi laman sesawang rasmi MetMalaysia.



