HomeUtamaInkues Zara: 15 helaian dipercayai daripada buku ‘Love and Peace’

Inkues Zara: 15 helaian dipercayai daripada buku ‘Love and Peace’

Read Time:2 Minute, 12 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Analisis saintifik terhadap 15 helaian kertas berasingan yang dikaitkan dengan Allahyarham Zara Qairina Mahathir memberi sokongan kukuh bahawa ia berasal daripada buku berkulit hijau zaitun ‘Love and Peace’ (WK9).

Pensyarah dan penyelidik Sains Forensik, Dr Dzulkiflee Ismail berkata, dapatan itu dibuat berdasarkan analisis kimia terhadap 15 helaian kertas yang ditandakan Y1 hingga Y15 dan kertas daripada WK9.

Saksi ke-78 itu berkata, pemeriksaan dilakukan bagi menentukan sama ada 15 helaian kertas berkenaan berasal daripada sumber yang sama dengan kertas dalam WK9.

Sebuah buku ‘Love and Peace’ baharu yang belum digunakan daripada jenis sama turut dijadikan sampel kawalan untuk perbandingan.

“Secara keseluruhannya, keputusan saya menyokong kesimpulan bahawa kertas Y1 hingga Y15 mempunyai komposisi kimia yang sama dengan kertas WK9 dan boleh dibezakan secara kimia daripada buku baharu yang belum digunakan daripada jenama dan jenis yang sama.

“Dengan kata lain, terdapat sokongan saintifik yang kukuh terhadap kesimpulan bahawa helaian Y1 hingga Y15 pada asalnya berasal daripada WK9,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Dzulkiflee berkata, analisis kimia dilakukan menggunakan teknik spektroskopi Attenuated Total Reflectance-Fourier Transform Infrared (ATR-FTIR) bersama teknik kemometrik.

Beliau menjelaskan, ATR-FTIR menggunakan cahaya inframerah untuk menghasilkan corak ‘cap jari’ berdasarkan komposisi kimia kertas tanpa merosakkan dokumen yang diperiksa.

Corak itu kemudian dibandingkan bagi menentukan sama ada kertas berkenaan berasal daripada sumber yang sama atau berbeza.

Hasil analisis mendapati Y1 hingga Y15 mempunyai persamaan kimia yang sangat tinggi antara satu sama lain, manakala WK9 turut mempunyai profil kimia yang sama dengan helaian berkenaan.

Sebaliknya, buku ‘Love and Peace’ baharu yang digunakan sebagai sampel kawalan didapati mempunyai profil kimia yang berbeza daripada WK9 dan Y1 hingga Y15.

Analisis statistik lanjut turut mengelompokkan WK9 bersama Y1 hingga Y15 dan bukannya dengan buku baharu berkenaan.

Dzulkiflee berkata, pemeriksaannya hanya bertujuan menentukan kemungkinan kertas berkenaan berasal daripada sumber yang sama berdasarkan komposisi kimia.

Beliau tidak memeriksa tulisan tangan atau menentukan siapa yang menulis catatan berkenaan kerana pemeriksaan itu dilakukan secara berasingan oleh Pemeriksa Dokumen Forensik Tay Eue Kam.

Dzulkiflee bersama Tay dan pensyarah serta penyelidik Sains Forensik, Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa diarahkan oleh pasukan guaman yang mewakili ibu Zara untuk memeriksa buku, buku latihan dan helaian kertas berkaitan Zara bagi tujuan inkues.

Pemeriksaan dokumen asal dilakukan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam dua sesi, iaitu dari 24 hingga 26 September serta pada 10 dan 13 hingga 15 Oktober 2025.

Zara, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.

Inkues bagi menentukan punca dan keadaan sekitar kematian Zara bermula pada 3 September 2025.

RELATED ARTICLES
Utama

Lima kawasan Sabah berada pada Tahap Berjaga-Jaga cuaca panas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular