PENAMPANG: Dua lelaki tempatan berusia 19 dan 28 tahun ditahan selepas disyaki menyamar sebagai pegawai agensi penguat kuasa dan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki warga asing di Kampung Koidupan Sugud, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, kedua-dua suspek memakai pakaian menyerupai seragam agensi penguat kuasa sebelum meminta mangsa menunjukkan dokumen pengenalan diri.
Menurutnya, suspek kemudian mendakwa mangsa melakukan kesalahan kerana gagal mengemukakan pasport dan dipercayai meminta bayaran RM1,500 sebagai balasan untuk menyelesaikan kesalahan berkenaan.
“Apabila diminta menunjukkan kad kuasa, kedua-dua suspek tiba-tiba cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan penduduk kampung sebelum diserahkan kepada polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Polis turut merampas beberapa helai pakaian menyerupai seragam agensi penguat kuasa yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan pemerasan serta menyamar sebagai penjawat awam.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 384, suspek boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Bagi Seksyen 170 pula, hukuman yang diperuntukkan ialah penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap individu yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa.
Sebarang kejadian atau perlakuan mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak polis. – SABAH MEDIA



