Oleh Normimie Diun
KOTA BELUD: Bagi sesetengah pesakit HIV di Sabah, mendapatkan rawatan bukan sekadar soal ubat dan janji temu di klinik, sebaliknya memerlukan mereka menempuh perjalanan jauh, mengeluarkan kos tinggi malah ada yang sanggup keluar dari daerah sendiri demi merahsiakan status kesihatan daripada keluarga.
Situasi itu antara cabaran yang cuba diringankan Malaysian AIDS Foundation (MAF) menerusi program SHAPE, khususnya bagi pesakit yang tinggal di kawasan pedalaman dan jauh daripada pusat rawatan pakar.
Setiausaha Kehormat MAF, Dr Zaiton Yahaya berkata, faktor geografi Sabah menyebabkan sebahagian pesakit terpaksa melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan, sedangkan ubat HIV perlu diambil secara konsisten sepanjang hayat.
“Kalau mereka mematuhi rawatan, mereka boleh menjalani kehidupan seperti orang lain. HIV ialah penyakit kronik, tetapi dengan rawatan yang betul, pesakit mempunyai peluang untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Namun, bagi pesakit dari kawasan seperti Kota Belud dan pedalaman, mereka perlu datang ke klinik pakar di Kota Kinabalu. Jarak yang jauh menyebabkan mereka berdepan kesukaran,” katanya ketika ditemui pemberita semasa program SHAPE di sini pada Khamis.
Lebih menyedihkan, katanya, ada pesakit yang sanggup melakukan perjalanan lebih jauh kerana bimbang ahli keluarga atau saudara-mara mengetahui status kesihatan mereka.
“Ada pesakit yang enggan datang ke Kota Kinabalu kerana bimbang ahli keluarga mengetahui status mereka. Mereka sanggup melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan di tempat lain demi menjaga kerahsiaan.
“Pesakit dari kawasan luar bandar juga ada yang sanggup melakukan perjalanan jauh kerana bimbang saudara-mara mengetahui keadaan mereka,” katanya.
Menurut Dr Zaiton, cabaran itu turut melibatkan golongan muda apabila MAF mempunyai penerima bantuan berusia seawal 14 tahun, termasuk pelajar Tingkatan Dua dan Tingkatan Lima.
Katanya, dalam keadaan tertentu, status kesihatan mereka tidak semestinya diketahui ibu bapa, sekali gus menjadikan aspek kaunseling dan pematuhan rawatan amat penting.
“Bagi pesakit muda, kita perlu memberi kaunseling supaya mereka memahami keadaan mereka. Ubat adalah perkara sangat penting kerana ia memberi mereka peluang untuk terus hidup dengan lebih baik.
“Kami berharap apabila golongan muda ini didiagnosis, mereka akan mematuhi rawatan dan mengambil ubat seperti yang ditetapkan,” katanya.
Setakat ini, katanya, MAF telah membantu kira-kira 300 pesakit di seluruh Sabah, termasuk mereka yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan rawatan.
Dr Zaiton berkata, bantuan SHAPE banyak disalurkan bagi menampung kos pengangkutan kerana perjalanan mendapatkan rawatan boleh menjadi beban besar kepada pesakit.
Katanya, bantuan diberikan mengikut zon, dengan sekitar RM50 bagi kawasan bandar, RM100 bagi kawasan lebih jauh dan sehingga RM150 bagi kawasan yang lebih jauh lagi.
“Kalau kos perjalanan mencecah RM200, kita perlu melihat keadaan dan menambah bantuan mengikut kemampuan.
“Kita tidak mampu menanggung keseluruhan kos, tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban pesakit yang memerlukan,” katanya.
Katanya, keadaan itu berbeza berbanding di Semenanjung yang mempunyai rangkaian klinik lebih mudah diakses, termasuk melalui pengangkutan awam.
“Di Sabah, faktor geografi menjadi cabaran besar. Untuk mendapatkan rawatan pun pesakit perlu melakukan perjalanan jauh,” katanya.
Dr Zaiton turut berkongsi pengalaman yang mendorongnya membantu golongan berkenaan selepas bertemu seorang wanita yang kehilangan suami akibat HIV dan terpaksa membesarkan tiga anak.
Katanya, wanita berkenaan datang mendapatkan bantuan ketika keadaannya sudah kritikal sehingga peluang untuk membantunya menjadi sangat terhad.
“Dia merayu, ‘Doktor, tolong saya’. Dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan selepas suaminya meninggal dunia akibat HIV.
“Apabila saya melihat keadaannya, saya sedar dia datang mendapatkan bantuan ketika penyakitnya sudah terlalu lewat. Pada ketika itu, kemampuan untuk membantu menjadi sangat terhad,” katanya.
Pengalaman itu, katanya, menguatkan tekad untuk memastikan pesakit mendapatkan rawatan lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga keadaan bertambah buruk.
“Wanita antara golongan yang paling terkesan. Jika pasangan mereka meninggal dunia, siapa yang akan menjaga anak-anak mereka? Dari situlah usaha ini bermula,” katanya.
Dalam usaha memudahkan pesakit dari kawasan jauh, MAF turut berharap kerajaan negeri mempertimbangkan penyediaan sebuah rumah transit khusus untuk pesakit yang perlu mendapatkan rawatan di Kota Kinabalu.
Dr Zaiton berkata, kemudahan itu membolehkan pesakit dari kawasan pedalaman tinggal sementara tanpa perlu menanggung kos penginapan yang tinggi.
“Mereka boleh datang, tidak perlu menyewa tempat penginapan, berehat, mendapatkan rawatan serta berjumpa pakar sebelum pulang.
“Itulah yang kami harapkan sebuah rumah transit untuk pesakit,” katanya.
Beliau berkata, SHAPE kini mendapat sokongan Yayasan Petronas dan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), manakala MAF mengurus dan memantau pelaksanaan program.
MAF berharap perkhidmatan SHAPE dapat diperluaskan ke daerah lain seperti Kunak dan Tawau sebelum meliputi lebih banyak kawasan di Sabah.
“Impian terbesar kami adalah untuk memastikan perkhidmatan ini dapat menjangkau seluruh Sabah.
“Apabila mereka mendapat bantuan, mereka mempunyai harapan. Itu sebabnya SHAPE diwujudkan,” katanya.



