HomeUtamaTiada pas sah, 41 PATI dipenjara

Tiada pas sah, 41 PATI dipenjara

Read Time:2 Minute, 8 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seramai 41 pendatang asing tanpa izin (PATI) dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memasuki Sabah tanpa pas atau permit yang sah.

Mereka terdiri daripada 28 lelaki dan sembilan wanita warga Filipina serta empat lelaki warga Indonesia.

Daripada jumlah itu, 38 dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkap kerana memasuki Sabah secara haram.

Tiga lagi, iaitu seorang lelaki dan dua wanita, dipenjara keseluruhan 10 bulan kerana masuk secara haram dan memasuki semula Sabah juga secara haram selepas diusir keluar. Tertuduh lelaki turut dikenakan satu sebatan.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan memasuki semula Sabah selepas diusir keluar mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63, pesalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, dan boleh juga disebat serta disingkirkan dari Malaysia.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua mereka dirujuk semula kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, seorang lelaki warga China didenda keseluruhan RM15,000 selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 56(1)(i) Akta Imigresen 1959/63.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didenda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan selama 34 hari.

Pas Khas lelaki itu hanya sah sehingga 8 Julai 2026, namun dia didapati masih berada di Malaysia pada 11 Ogos lalu.

Kesalahan dikesan kira-kira jam 5.30 petang di Kaunter Pemeriksaan Imigresen, Balai Perlepasan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didenda RM5,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda kerana memiliki tanpa kuasa yang sah Pas Lawatan Sosial bertarikh 4 Ogos 2026 yang tidak teratur.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 56(1)(i) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 56(1)(aa) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Denda berkenaan telah dibayar dan lelaki itu turut diperintahkan dirujuk semula kepada JIM untuk tindakan selanjutnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat dan Pegawai Imigresen Chin Tze Mee di hadapan Hakim Hurman Hussain.

RELATED ARTICLES
Utama

HKHM 2026: Persiapan hampir 100 peratus menjelang raptai penuh esok –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular