KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana membenarkan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk atau berada di premis di bawah kawalannya.
Yue Weng Fei, 38, mengaku bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain terhadap dua pertuduhan berkenaan pada Khamis.
Dia didakwa membenarkan dua lelaki warga Indonesia, masing-masing berusia 48 dan 29 tahun, masuk dan berada di Thong Leep Engineering Work, Kg Durok, Jalan Nabawan, Keningau, kira-kira jam 10.20 pagi pada 5 November 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E(2) akta sama yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM30,000, penjara tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang dijumpai di premis.
Yue didenda RM5,000 atau penjara tiga bulan bagi setiap PATI berkenaan.
Semasa rayuan, Yue yang tidak diwakili peguam memohon denda lebih ringan dengan alasan dia sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.
Pegawai Pendakwa Imigresen Mohd Sharifuddin Salim memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pencegahan.



