PAPAR: Pengguna di Sabah berpeluang menikmati harga lebih rendah bagi 30 jenis barangan segar menerusi Kempen Turun Harga Barangan Segar @ Bataras, yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kempen berkenaan berlangsung dari 28 Ogos hingga 31 Oktober 2026 di kesemua 58 cawangan Pasar Raya Bataras di seluruh Sabah.
Katanya, harga barangan terpilih ditawarkan antara lima hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga asal, sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan harian pengguna.
“Ini merupakan antara ikhtiar bersama dalam membantu meringankan kos perbelanjaan barangan keperluan rakyat.
“Usaha murni ini wajar diperluaskan dan dicontohi lebih ramai pemain industri termasuk subsektor peruncitan lain sebagai manifestasi tanggungjawab bersama dalam memelihara kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Armizan berkata, KPDN mengalu-alukan pelaksanaan kempen berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha bersama kerajaan dan pemain industri menangani cabaran kos sara hidup.
Menurutnya, pendekatan seluruh negara (whole-of-nation) penting bagi memastikan semua pihak memainkan peranan dalam membantu rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.
Dalam pada itu, Armizan memaklumkan beliau tidak dapat menghadiri pelancaran kempen di Pasar Raya Bataras, Papar berikutan tugasan di Putrajaya.
Pelancaran kempen berkenaan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir.
Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Pengiran Saifuddin serta Bataras Sdn Bhd atas komitmen melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada pengguna.



