Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang wanita warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 59 pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan lebih RM500,000 berhubung pelaburan projek perumahan aspirasi rakyat.
Tertuduh, Winis Juani, 65, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Hurman Hussain.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut 59 pertuduhan, tertuduh didakwa memperdayakan mangsa supaya mempercayai bahawa dia akan mendapat pulangan lumayan daripada pelaburan projek perumahan aspirasi rakyat SPNB.
Tertuduh kemudian secara curang mendorong mangsa untuk menyerahkan wang antara RM50 hingga RM20,000 bagi pelaburan tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan bank di Jalan Perpaduan, di sini dan Penampang antara 28 September 2016 hingga 18 Oktober 2021.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengenakan beberapa syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan dia perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kesnya selesai.
Mahkamah menetapkan 16 Oktober depan untuk sebutan semula bagi pengurusan kes praperbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis, manakala tertuduh diwakili peguam Nurshalilah Fauzan Mailin.



