TUARAN: Kerajaan negeri mahu kemudahan dan fasiliti kesihatan di Sabah sentiasa dipertingkat bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang cepat, selamat, berkualiti dan saksama.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata sektor kesihatan yang cemerlang memerlukan penambahbaikan berterusan demi kesejahteraan rakyat, terutama mengambil kira cabaran Sabah dari segi keluasan geografi, taburan penduduk serta aksesibiliti perkhidmatan.
“Cabaran tersebut tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha memastikan setiap rakyat, termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman dan sukar dicapai, memperoleh akses kepada perkhidmatan kesihatan yang selamat, berkualiti dan saksama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kembara TOBaTS (Tolak Ubat Tidak Sah) Zon Borneo 2026 di Dewan Seri Sulaman di sini, hari ini.
Hajiji berkata, Sabah juga mahu melihat lebih banyak fasiliti perubatan dan hospital pakar dibangunkan, termasuk penambahan doktor pakar supaya rakyat di negeri ini menikmati kemudahan perubatan yang lebih selesa dan berkesan.
Katanya, dalam usaha berkenaan, Sabah turut mengorak langkah apabila kerjasama strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah (YS) dan IJN Sdn Bhd dimeterai April lalu bagi pembinaan sebuah hospital jantung bertaraf dunia di Kota Kinabalu, yang diharapkan menjadi kenyataan dan memperkasakan akses perkhidmatan jantung di negeri ini.
Dalam pada itu, Hajiji berkata penganjuran Kembara TOBaTS membuktikan komitmen berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama kerajaan negeri dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat daripada ancaman produk kesihatan serta ubat-ubatan tidak sah.
Beliau berkata kewujudan platform digital dan media sosial menyebabkan produk kosmetik, suplemen dan ubat-ubatan tidak berdaftar semakin mudah dipasarkan terus kepada pengguna, selain membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab membuat pelbagai dakwaan perubatan yang mengelirukan atau tidak berasas.
“Kesihatan dan keselamatan rakyat tidak boleh dan tidak akan sesekali dikompromi. Penggunaan ubat tidak sah boleh mendatangkan risiko serius kepada kesihatan kerana produk sedemikian tidak memenuhi piawaian keselamatan, kualiti dan keberkesanan, malah boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang, kegagalan fungsi hati dan membawa maut,” katanya.
Hajiji berkata penguatkuasaan semata-mata tidak memadai, sebaliknya benteng pertahanan paling ampuh ialah masyarakat yang berpengetahuan, berwaspada dan mampu membuat keputusan tepat.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat Sabah mengamalkan budaya semak melalui aplikasi MyUbat yang disediakan KKM sebelum membeli sesuatu ubat, selain memastikan ubat dibeli berdaftar dengan KKM serta bertanya kepada ahli farmasi atau doktor sebelum mencuba sebarang produk kesihatan baharu.
“Saya berharap program Kembara TOBaTS menjadi titik tolak kepada pembentukan satu budaya baharu iaitu budaya celik ubat serta budaya menolak sebarang bentuk penipuan dan penyalahgunaan berkaitan ubat,” katanya.
Hajiji turut memberi jaminan kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan dan memperkukuh sinergi dengan KKM serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan agenda kesihatan dan kesejahteraan rakyat Sabah terus diperkasa secara mampan dan menyeluruh.
Beliau berkata kerjasama padu KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan agensi kerajaan negeri penting bagi memastikan mesej Kempen TOBaTS dapat disampaikan secara meluas hingga ke peringkat akar umbi di seluruh negeri.
Sementara itu bercakap kepada pemberita, Hajiji berkata, sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap berbahaya dan boleh memudaratkan, kerajaan negeri menerusi jawatankuasa di peringkat negeri akan mengambil langkah-langkah proaktif yang sewajarnya.



