TUARAN : Tiada kematian akibat komplikasi berkaitan jerebu dilaporkan di mana-mana fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seluruh negara setakat ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkembangan itu berdasarkan pemantauan KKM terhadap kesihatan awam susulan keadaan jerebu yang melanda beberapa kawasan.
Beliau berkata, walaupun keadaan jerebu perlu diberi perhatian, trend penyakit berkaitan pencemaran udara di Sabah ketika ini menunjukkan penurunan.
Katanya, antara penyakit yang dipantau ialah konjunktivitis, jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan asma.
“Konjunktivitis turun 87.5 peratus, URTI adalah 28.9 peratus dan asma adalah 26.9 peratus. Semua menunjukkan trend yang menurun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Kembara TOBaTS (Tolak Ubat Tidak Sah) Zon Borneo 2026 di Dewan Seri Sulaman di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah risiko kesihatan yang boleh timbul akibat pendedahan kepada jerebu.
Menurutnya, golongan rentan seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit sedia ada perlu mengambil langkah berjaga-jaga.
Beliau berkata, individu yang menghidap asma atau mengalami jangkitan saluran pernafasan atas khususnya perlu mengelakkan aktiviti atau berada terlalu lama di kawasan terdedah kepada jerebu.
“Jangan bermudah-mudah, terutamanya bagi kumpulan rentan, berisiko, kanak-kanak sekolah dan juga orang tua serta mereka yang ada komorbiditi.
“Elakkan daripada berada di tempat yang terdedah dan jika perlu, gunakan pelitup muka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata keadaan jerebu di Sabah masih terkawal dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan menunjukkan trend menurun.
Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya mengambil pendekatan berhati-hati dengan tidak mahu menimbulkan kebimbangan berlebihan dalam kalangan masyarakat, namun pada masa sama orang ramai tidak seharusnya mengambil ringan keadaan semasa.
“Kita tidak mahu terlalu alarmis, tetapi tidak juga mahu bermudah-mudah,” katanya.
Beliau berkata, pemantauan terhadap keadaan kesihatan awam akan terus dilakukan dan perkembangan jerebu akan diberi perhatian bagi memastikan sebarang risiko terhadap kesihatan rakyat dapat ditangani dengan sewajarnya.
Katanya, orang ramai juga disaran mengambil langkah perlindungan yang bersesuaian terutama mereka yang berisiko tinggi mengalami komplikasi akibat pendedahan kepada jerebu.



