HomeUtamaAbdul Azeez mengaku tidak bersalah guna kedudukan berkaitan pelaburan TH RM193.5 juta

Abdul Azeez mengaku tidak bersalah guna kedudukan berkaitan pelaburan TH RM193.5 juta

Read Time:2 Minute, 37 Second

KUALA LUMPUR :  Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Seksyen Jenayah di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berkaitan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta dalam Putrajaya Perdana Berhad pada 2014.

Abdul Azeez, 60, yang dibawa ke mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna ungu Polis mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi dan memohon untuk dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, Abdul Azeez yang ketika itu merupakan pegawai badan awam selaku Pengerusi TH didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berupa jawatan Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad dengan remunerasi RM690,000 setahun serta kemudahan sebuah kereta BMW 7 Series berserta seorang pemandu tetap.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada 25 Ogos 2014 di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 38, Bangunan Tabung Haji, 201 Jalan Tun Razak di sini.

Abdul Azeez didakwa mengambil tindakan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif TH ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail supaya mencadangkan dirinya sebagai wakil TH dalam Putrajaya Perdana Berhad.

Beliau juga didakwa meyakinkan ahli-ahli Lembaga TH ketika Mesyuarat Lembaga Pengarah TH Bil. 4/2014 (309) supaya bersetuju meluluskan cadangan untuk melabur sehingga RM193.5 juta, bersamaan sehingga 30 peratus modal saham terbitan sedia ada Putrajaya Perdana Berhad.

Menurut pertuduhan, Abdul Azeez mempunyai kepentingan dalam perkara berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan sekiranya suapan itu boleh dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dato Akram Gharim, Law Chi How, dan atirah Ahmad Azhar manakala Abdul Azeez diwakili peguam Datuk Amer Hamzah, Datuk Abu Bakar Isa Ahmad, Ashvat, Joshua Tay dan Tan Soo yin.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM1 Juta dengan 2 orang penjamin tempatan dan bukan ahli keluarga selain syarat tambahan pasport Abdul Azeez diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Amer membantah jumlah berkenaan dan memohon jumlah itu dikurangkan dan Mahkamah kemudiannya membenarkan Abdul Azeez diikat jamin RM450,000 dengan 2 penjamin selain menetapkan syarat tambahan termasuk melaporkan diri ke Pejabat SPRM Kuala Lumpur setiap 3 bulan.

Sebelum itu, mahkamah turut membenarkan permohonan polis untuk menahan reman Abdul Azeez selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berasingan.

Abdul Azeez tiba di mahkamah pagi ini bagi menjalani prosiding reman susulan penahanannya oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman petang semalam, sebelum beliau menghadapi pertuduhan rasuah berkenaan.

Peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat sebelum ini berkata Abdul Azeez ditahan JSJK Bukit Aman sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi.

Penahanan oleh JSJK itu merupakan perkembangan berasingan daripada siasatan SPRM berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.

Abdul Azeez sebelum ini pernah direman selama tujuh hari bermula 27 Ogos hingga 2 September lalu bagi membantu siasatan SPRM susulan dapatan RCI berkenaan.

Beliau ketika itu direman bersama seorang bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membantu siasatan berkenaan.

Siasatan SPRM itu dijalankan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga kenderaan perdagangan disita, dipandu warga asing tanpa lesen sah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular