PUTRAJAYA: Permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
​Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan berkenaan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung pada Jumaat.
​”Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII Sultan Ibrahim telah berkenan supaya permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
​Dalam mesyuarat sama, Seri Paduka Baginda turut berkenan membebaskan seramai 65 orang banduan.
​Menurut kenyataan itu lagi, semua banduan bukan warganegara yang dibebaskan hendaklah dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan selepas pembebasan mereka.



