FUZHOU: Ketibaan pelawat dari China ke Sabah meningkat 25.5 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara berkenaan sebagai pasaran sumber antarabangsa terbesar bagi negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Sabah merekodkan sebanyak 484,699 ketibaan pelawat dari China bagi tempoh Januari hingga Julai 2026.
Katanya, jumlah itu meningkat berbanding 386,217 ketibaan yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Pertumbuhan kukuh ini mencerminkan permintaan berterusan terhadap Sabah dalam kalangan pelancong China dan menyerlahkan kepentingan untuk terus memperkukuh hubungan serta jaringan penerbangan dengan China,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sabah Business-to-Business (B2B) Roadshow di Fuzhou, di sini pada Jumaat
Menurut Jafry, peningkatan jumlah ketibaan pelawat China turut memperlihatkan kepentingan hubungan udara secara terus dalam menyokong pertumbuhan sektor pelancongan Sabah.
Sehubungan itu, Xiamen Airlines akan menyambung semula perkhidmatan penerbangan terus bagi laluan Xiamen–Kota Kinabalu bermula 23 September ini.
Katanya, penyambungan semula laluan berkenaan, bersama perkhidmatan penerbangan Fuzhou–Kota Kinabalu yang sedia ada, akan menyediakan tujuh penerbangan terus seminggu dari wilayah Fujian ke Sabah.

“Jaringan perhubungan yang dipertingkatkan ini akan menjadikan Sabah lebih mudah diakses oleh pelancong dari Fujian dan kawasan sekitarnya, selain membuka lebih banyak peluang kepada industri pelancongan kita,” katanya.
Jafry berkata, Sabah mempunyai kepelbagaian produk pelancongan yang mampu menarik pelancong China, termasuk keindahan pantai, hutan hujan tropika serta kekayaan tradisi dan budaya masyarakat tempatan.
Katanya, selain keunikan alam semula jadi, keramahan masyarakat Sabah turut menjadi antara daya tarikan yang dapat memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa.
Sabah B2B Roadshow berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Malaysia Chinese Tourism Association (MCTA) Cawangan Sabah, Xiamen Airlines dan Lembaga Pelancongan Sabah.
Program itu turut menghimpunkan ejen pelancongan utama serta pemain industri dari Xiamen dan Quanzhou bagi meneroka peluang kerjasama baharu dalam sektor pelancongan. SABAH MEDIA



