TAWAU: Kegiatan disyaki membabitkan penyelewengan minyak diesel dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) hasil pemantauan dan risikan di sekitar Jalan Tiku Batu 8, di sini.
Kes berkenaan kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau hari ini untuk tindakan lanjut.
KPDN Sabah dalam kenyataan berkata kes itu kini dikendalikan Seksyen Penguat Kuasa KPDN Cawangan Tawau mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“KPDN Cawangan Tawau komited membanteras sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan bagi melindungi kepentingan rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.
KPDN turut memberi amaran bahawa sebarang cubaan menyeleweng atau menyalahgunakan minyak diesel adalah kesalahan serius dan tindakan akan diambil tanpa kompromi.
Pada masa sama, orang ramai diseru menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan melalui saluran rasmi KPDN.



