HomeUtamaJafry arah semakan keselamatan resort di Semporna

Jafry arah semakan keselamatan resort di Semporna

Read Time:1 Minute, 20 Second

KOTA KINABALU: Pihak berkuasa pelancongan Sabah diarah supaya segera meneliti status pelesenan serta aspek keselamatan dan sekuriti sebuah pusat penginapan di Semporna susulan kejadian membabitkan seorang pelancong dari China.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata semakan itu penting bagi memastikan sebarang kelemahan yang dikenal pasti dapat ditangani segera.

“Saya telah mengarahkan pihak berkuasa pelancongan yang berkaitan supaya segera melihat ke dalam pusat penginapan berkenaan, termasuk status pelesenan dan langkah-langkah keselamatan serta sekuritinya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pihak berkuasa pelancongan turut diminta berkoordinasi dengan agensi penguat kuasa berkaitan sekiranya tindakan lanjut diperlukan.

Katanya, langkah itu susulan kejadian yang dilaporkan melibatkan seorang pelancong dari China di sebuah pusat peranginan di Semporna.

Jafry berkata beliau memandang serius kejadian berkenaan dan menegaskan bahawa keselamatan serta sekuriti setiap pelawat ke Sabah perlu kekal sebagai keutamaan.

“Saya mengalu-alukan tindakan pantas pihak polis dalam menahan seorang suspek dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh tanpa sebarang spekulasi,” katanya.

Menurutnya, sebarang kelemahan yang dikenal pasti hasil semakan perlu ditangani tanpa berlengah.

Beliau pada masa sama mengingatkan pengusaha pelancongan, khususnya penyedia penginapan, mengenai tanggungjawab mereka dalam memastikan premis masing-masing menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin kepada tetamu.

Katanya, tanggungjawab tersebut amat penting bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa diberi perhatian ketika mereka berada di premis penginapan.

Jafry berkata perkara itu juga selari dengan usaha Sabah memperkukuh sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

“Menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pelawat.

“Sabah mesti terus menjadi destinasi di mana para pelawat berasa selamat, dihormati dan dialu-alukan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sawit Kinabalu utamakan kelestarian untuk tiga dekad akan datang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular