HomeUtamaUSIA, NGO Islam Sabah bantah penganjuran Israel & New Breed di Kota...

USIA, NGO Islam Sabah bantah penganjuran Israel & New Breed di Kota Kinabalu

Read Time:2 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di negeri ini menyatakan bantahan terhadap penganjuran program ‘Israel & New Breed – Till The Whole World Knows Tour 2026’ yang dijadualkan berlangsung di Hakka Hall, di sini.

Menurut kenyataan media bersama USIA dan NGO-NGO Islam Sabah pada Isnin memaklumkan, program berkenaan dijadualkan berlangsung pada 22 Oktober 2026, jam 8 malam, dengan penglibatan artis antarabangsa, Israel Houghton.

USIA dan NGO terbabit berkata, bantahan itu bukan berasaskan soal agama atau bangsa, sebaliknya berkaitan pendirian terbuka artis berkenaan terhadap Israel yang, menurut mereka, boleh disemak melalui hantaran media sosialnya.

Mereka mendakwa antara hantaran berkenaan memaparkan simbol Israel bersama kenyataan yang menyatakan sokongan terhadap Israel serta doa untuk keamanan Jerusalem.

“Pendirian terbuka seperti ini sememangnya mempunyai implikasi dari sudut sensitiviti masyarakat, khususnya ketika dunia sedang menyaksikan penderitaan berterusan yang dialami rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, USIA dan NGO Islam Sabah menegaskan mereka menghormati kebebasan beragama serta menolak sebarang bentuk kebencian terhadap mana-mana agama, bangsa atau komuniti.

Bagaimanapun, mereka berpandangan kebebasan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai keperluan untuk menerima atau menormalisasikan setiap pendirian politik atau sokongan terhadap pihak yang menjadi pertikaian dalam isu kemanusiaan antarabangsa.

Menurut mereka, Sabah mempunyai identiti masyarakat yang menjunjung keamanan, keharmonian, toleransi dan nilai kemanusiaan sejagat.

“Justeru, sebarang penganjuran program antarabangsa yang melibatkan individu dengan pendirian awam berkaitan konflik Israel-Palestin wajar dinilai dengan penuh tanggungjawab, termasuk dari aspek sensitiviti masyarakat, kepentingan awam, ketenteraman serta keharmonian rakyat Sabah,” katanya.

Sehubungan itu, USIA dan NGO-NGO Islam Sabah menyeru pihak berkuasa serta agensi berkaitan supaya meneliti semula segala kelulusan, permit dan aspek penganjuran program berkenaan.

Mereka turut meminta pihak berkuasa mengambil kira kedudukan serta kenyataan awam artis yang terlibat dalam membuat penilaian terhadap penganjuran program itu.

“Kami berharap semua pihak berkuasa menggunakan bidang kuasa yang ada bagi memastikan sebarang program yang berlangsung di Sabah tidak menimbulkan ketegangan atau mencetuskan sensitiviti yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” menurut kenyataan itu.

USIA dan NGO terbabit turut memaklumkan mereka akan membuat laporan polis sebagai tanda bantahan serta meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Bagaimanapun, mereka menegaskan bantahan berkenaan tidak bermaksud menyeru kepada kebencian, kekerasan atau tindakan terhadap mana-mana individu atas dasar agama dan bangsa.

Sebaliknya, mereka berkata pendirian itu berasaskan prinsip kemanusiaan serta keprihatinan terhadap nasib rakyat Palestin.

“Palestin bukan sekadar isu politik. Palestin ialah isu kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.

USIA dan NGO-NGO Islam Sabah berkata mereka akan terus menyuarakan solidariti kepada rakyat Palestin serta menolak sebarang usaha yang dilihat boleh menormalisasikan sokongan terhadap penindasan dan penderitaan rakyat Palestin.

Pada masa sama, mereka menyeru masyarakat Sabah supaya mengekalkan ketenangan, tidak mengambil tindakan sendiri dan menyalurkan sebarang bantahan melalui saluran yang sah.

“Kekuatan perjuangan bukan pada kekerasan, tetapi pada keteguhan prinsip, kewarasan tindakan dan kesatuan suara yang disampaikan secara aman,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

4,422 item sampah dikutip, 711 COT disingkirkan di perairan Kunak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular