HomeUtamaHujan intensif singkat bukan luar biasa, sistem saliran bandar perlu dinilai

Hujan intensif singkat bukan luar biasa, sistem saliran bandar perlu dinilai

Read Time:2 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Kejadian hujan pada Isnin lalu tidak boleh dianggap terlalu luar biasa bagi iklim tropika Sabah, meskipun terdapat episod hujan berintensiti tinggi dalam tempoh singkat yang mencetuskan banjir kilat di beberapa kawasan.

Pakar hidrologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Kehormat Dr. Kawi Bidin berkata, corak hujan konvektif seperti itu merupakan fenomena yang lazim berlaku di Sabah, khususnya apabila hujan turun dengan intensiti tinggi dalam tempoh tertentu.

Katanya, secara keseluruhannya jumlah hujan yang direkodkan pada hari berkenaan tidak semestinya terlalu tinggi, namun terdapat episod hujan yang sangat intensif dalam tempoh singkat atau very intense short-duration rainfall.

“Secara keseluruhannya, hujan pada hari tersebut bukanlah terlalu lebat. Namun terdapat episod hujan yang sangat intensif dalam tempoh singkat.

“Apa yang menarik ialah walaupun jumlah hujan tidak terlalu tinggi, banjir kilat masih berlaku di beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu. Ini menunjukkan kita tidak boleh melihat faktor hujan semata-mata,” katanya.

Dr. Kawi Bidin

Menurutnya, kejadian tersebut perlu dilihat sebagai petunjuk bahawa keupayaan sistem perparitan dan saliran bandar, perubahan guna tanah, peningkatan kawasan berturap, keadaan saluran air serta keupayaan pelepasan air di kawasan rendah perlu dinilai secara menyeluruh.

Beliau berkata, selain kapasiti sistem perparitan, aspek pengurusan sampah sarap dan bahan puing yang berpotensi menyekat atau mengganggu aliran air dalam sistem saliran sedia ada juga perlu diberikan perhatian.

“Sistem yang mempunyai kapasiti mencukupi sekalipun boleh terjejas sekiranya laluan air tidak dapat berfungsi pada tahap yang sepatutnya.

“Persoalannya bukan sekadar berapa banyak hujan yang turun, tetapi seberapa cepat air hujan menjadi larian permukaan dan sama ada sistem perparitan mampu mengalirkannya pada kadar tersebut,” katanya.

Kawi berkata, peningkatan kawasan berturap akibat pembangunan juga boleh mempengaruhi kadar larian permukaan kerana air hujan kurang berpeluang meresap ke dalam tanah dan sebaliknya mengalir dengan lebih cepat ke sistem perparitan.

Justeru, katanya, kejadian banjir kilat di kawasan yang menerima jumlah hujan yang tidak terlalu luar biasa perlu menjadi asas kepada penilaian lebih terperinci terhadap sistem tadahan dan saliran setempat.

“Jika kejadian hujan yang tidak terlalu luar biasa sudah menyebabkan banjir kilat di lokasi tertentu, maka ada sesuatu pada sistem tadahan, saliran serta pengurusannya di kawasan berkenaan yang perlu kita lihat dengan lebih dekat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, data hujan beresolusi tinggi di peringkat tempatan amat penting untuk dipadankan dengan rekod kejadian banjir bagi mengenal pasti hubungan antara intensiti hujan, larian permukaan dan kapasiti sistem saliran.

Katanya, analisis sedemikian membolehkan punca sebenar kejadian banjir dikenal pasti dengan lebih tepat, selain membantu pihak berkaitan merancang langkah mitigasi yang bersesuaian mengikut keadaan setiap kawasan.

“Data hujan beresolusi tinggi di peringkat tempatan penting untuk dipadankan dengan rekod kejadian banjir supaya punca sebenar dapat dikenal pasti dan langkah mitigasi dapat dirancang dengan lebih tepat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

KK rekod cuaca tahap ekstrem

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular