HomeUtamaESSCOM rekod lebih RM407,000 tindakan penguatkuasaan dan rampasan di Beluran

ESSCOM rekod lebih RM407,000 tindakan penguatkuasaan dan rampasan di Beluran

Read Time:2 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Operasi Bersepadu Daerah Beluran yang dilaksanakan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mencatat nilai keseluruhan tindakan penguatkuasaan dan rampasan sebanyak RM407,644.69 dalam tempoh dua hari.

Operasi yang berlangsung pada 28 dan 29 September lalu itu turut membawa kepada pemeriksaan terhadap 70 premis perniagaan dan 170 kenderaan, selain tiga lokasi dikenal pasti berkaitan penyimpanan rokok dan minuman keras tidak bercukai.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, nilai keseluruhan yang direkodkan itu terdiri daripada RM293,450.16 bagi tindakan penguatkuasaan serta RM114,194.53 bagi rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai, termasuk duti.

Katanya, operasi berkenaan membabitkan kekuatan 184 pegawai dan anggota daripada pelbagai pasukan keselamatan, jabatan, agensi Persekutuan, Negeri serta pihak berkuasa tempatan.

“Operasi ini memberi tumpuan kepada pemeriksaan premis perniagaan, kenderaan dan lokasi terpilih yang disyaki digunakan bagi penyimpanan rokok serta minuman keras tidak bercukai.

“Pada masa sama, pemeriksaan dilaksanakan bagi mengesan sebarang pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa agensi yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Victor berkata, antara tindakan penguatkuasaan yang direkodkan ialah enam kompaun bernilai RM159,000 oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah.

Menurutnya, JTK Sabah turut mengeluarkan empat notis pematuhan serta mengarahkan pembayaran tunggakan berjumlah RM48,100.16, menjadikan keseluruhan tindakan agensi itu bernilai RM207,100.16.

“Tindakan tersebut membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 18, 58, 103 dan 104 Ordinan Buruh Sabah (Bab 67),” katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengeluarkan enam kompaun bernilai RM30,000 selain tujuh notis pematuhan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula memeriksa 14 majikan dan mengeluarkan lima notis pemeriksaan, selain mengenal pasti lima kes untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

Dalam aspek penguatkuasaan jalan raya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 170 kenderaan dan mengeluarkan 37 saman bernilai RM6,250.

Majlis Daerah Beluran pula mengeluarkan dua kompaun berjumlah RM100 kepada premis perniagaan kerana gagal menguruskan sampah dengan betul.

Dalam pada itu, nilai rampasan sebanyak RM114,194.53 termasuk duti membabitkan rokok dan minuman keras tidak bercukai yang disita di bawah peruntukan Akta Kastam 1967.

Victor berkata, semua barang rampasan berkenaan dibawa ke Pejabat Kastam Sandakan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Rampasan ini menunjukkan usaha berterusan ESSCOM bersama JKDM dalam mengekang penyeludupan barangan tidak bercukai yang boleh menyebabkan ketirisan hasil kerajaan serta menjejaskan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu turut membabitkan pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) terhadap 56 individu, namun tiada kesalahan imigresen dikesan.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula memeriksa 15 individu dan mendapati semua dokumen yang dikemukakan adalah tulen serta sah.

Menurutnya, operasi bersepadu itu merupakan antara usaha ESSCOM memperkukuh keselamatan dan ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone), selain membanteras penyeludupan, penyelewengan barang kawalan, barang bersubsidi dan tidak bercukai.

“Operasi ini turut memberi tumpuan kepada usaha mengekang keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta mengambil tindakan terhadap kesalahan lain yang dikesan berdasarkan bidang kuasa agensi masing-masing,” katanya.

Victor berkata, peningkatan kehadiran pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan di kawasan dikenal pasti turut menjadi antara fokus operasi bagi memastikan tindakan dapat dilaksanakan secara tersusun dan menyeluruh.

Katanya, perkongsian maklumat dan koordinasi antara agensi akan terus diperkukuh bagi memastikan operasi seumpama itu dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Pelaksanaan operasi bersepadu seperti ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa di daerah-daerah ESS Zone bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan, penyeludupan, ketirisan barang kawalan dan bersubsidi serta keberadaan PATI,”katanya. 

RELATED ARTICLES
Utama

CIS labur RM120 juta tambah kapasiti pengeluaran simen

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular