HomePendapatLaporan PISA 2025 : Rakyat Malaysia ! Kita Sedang Menghadapi Masalah !!

Laporan PISA 2025 : Rakyat Malaysia ! Kita Sedang Menghadapi Masalah !!

Read Time:4 Minute, 27 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Malaysia, we have a problem!

Berdasarkan laporan tempatan dan antarabangsa, kemahiran Matematik pelajar negara adalah rendah dan menurun. Situasi ini adalah membimbangkan dan boleh menjejaskan agenda pembangunan negara.    

Menteri Pendidikan Malaysia telah mengumumkan Laporan PISA 2025 Results untuk Malaysia. Secara keseluruhan, pelajar Malaysia telah merekodkan pencapaian bercampur-campur bagi tiga domain yang dinilai: Matematik, Sains, Bacaan.

PISA 2025 melibatkan lebih 760,000 pelajar berumur 15 tahun, daripada 91 negara. Bagi Malaysia, PISA 2025 melibatkan 7,624 pelajar, dari 157 sekolah.

Fakta menarik. Programme for International Student Assessment (PISA) atau Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsaadalah satu pentaksiran untuk menilai kemahiran pelajar berumur 15 tahun di dalam tiga domain (Matematik, Sains, Bacaan).

PISA dilaksanakan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) setiap tiga tahun, melibatkan negara-negara OECD dan bukan OECD. Bermula dengan 43 negara pada penilaian PISA pertama, PISA 2025 melibatkan 91 negara.

PISA 2025 melaporkan Malaysia telah merekodkan peningkatan skor bagi Sains dan Bacaan, dan penurunan bagi Matematik:

  • Sains: 419, meningkat daripada 416 (2022)
  • Matematik: 397, menurun daripada 409 (2022)
  • Bacaan: 393, meningkat daripada 388 (2022)

Pencapaian PISA 2025 ini adalah lebih baik sedikit, berbanding PISA 2022 yang telah merekodkan penurunan bagi ketiga-tiga domain.

Sepanjang lima penilaian PISA (2010 – 2025), pencapaian Malaysia telah turun-naik. Bagi Matematik, Malaysia telah merekodkan peningkatan pencapaian yang ketara di antara tahun 2010 – 2018. Tetapi, telah merosot dengan ketara di antara tahun 2018 – 2025, daripada 440 kepada 397.

Sebagai perbandingan, pencapaian Malaysia bagi ketiga-tiga domain tersebut adalah di bawah purata OECD:

  • Sains: Malaysia (419), Purata OECD (482)
  • Matematik: Malaysia (397), Purata OECD (463)
  • Bacaan: Malaysia (393), Purata OECD(461)

Manakala, di kalangan negara-negara ASEAN yang terbabit, Singapura berada di kedudukan teratas bagi ketiga-tiga domain berkenaan, dengan skor yang jauh melebihi lain-lain negara. Malaysia pula berada di kedudukan ke-5 bagi Sains, ke-5 bagi Matematik dan ke-3 bagi Bacaan.

NegaraSainsMatematikBacaan
Singapura560563535
Viet Nam457443392
Brunei439435426
Thailand432407392
Indonesia389364365
Cambodia382366347
Filipina373371367
Malaysia419397393

Menariknya, terdahulu pada bulan Disember 2025, laporan Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024 menunjukkan Malaysia hanya merekodkan 4% pelajar Tahun 5 yang lemah kemahiran Matematik, iaitu kedua terendah selepas Viet Nam. Laos (30%) pula merekodkan peratusan tertinggi.

Laporan berkenaan diterbitkan oleh Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO) bersama United Nations Children’s Fund (UNICEF).

Lebih menarik, laporan berkenaan menunjukkan waktu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Matematik di sekolah rendah pada tahun 2024 bagi Malaysia ialah 576 jam, jauh lebih rendah berbanding negara-negara ASEAN: Filipina (1,330 jam), Cambodia (1,040 jam), Myanmar (1,032 jam), Laos (825 jam), Viet Nam (805 jam).

Sebenarnya, isu pencapaian Matematik pelajar negara bukanlah satu isu yang baharu. Bahkan, Laporan PISA 2025 tersebut mengesahkan isu yang sudah lama berlanjutan. Data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan puluhan ribu pelajar merekodkan pencapaian yang sangat lemah untuk Matematik bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun. 

Sebagai contoh, bagi SPM 2025, 21.7% pelajar telah mendapat Gred GAGAL untuk Matematik, melibatkan sekitar 83,000 pelajar. Pada masa sama, 26.7% pelajar merekodkan Gred D dan E.

Digabungkan, hampir 50% pelajar telah mendapat Gred D, E dan GAGAL untuk SPM Matematik. Begitu ramai pelajar yang lemah Matematik.

Tahun SPMJumlah Calon MatematikPeratusan Calon Gred Gagal (%)Peratusan Calon Gred D & E (%)Peratusan Calon Gred D, E, Gagal (%)
2025385,11821.726.748.4
2024375,11522.428.150.5
2023369,42523.228.952.1
2022369,34824.329.053.3
2021375,99725.529.655.1
2020378,15817.426.043.4
2019386,01018.626.144.7
2018388,74218.025.943.9
2017411,22117.625.743.3

Sepanjang tempoh masa sembilan tahun (2017 – 2025), peratusan pelajar GAGAL Matematik adalah di antara 17.4 – 25.5%, melibatkan lebih 700,000 pelajar. Walaupun peratusan GRED GAGAL telah mula merekodkan trend menurun sejak tahun 2022, peratusan dan jumlah pelajar terbabit masih tinggi.

Agak sukar untuk menghadam hakikat bagaimana begitu ramai pelajar negara masih lemah kemahiran Matematik, setelah mengharungi pembelajaran Matematik selama 11 tahun dari sekolah rendah ke menengah.

Sama ada kelemahan ini berpunca daripada kurikulum, guru, sekolah mahupun pelajar sendiri, ianya mesti di tangani segera dengan penambahbaikan yang menyeluruh dan efektif. Penambahbaikan secara piecemeal tidak mungkin dapat menghasilkan perubahan yang ketara dan mampan untuk jangka panjang.       

Kelemahan ini mungkin juga disebabkan oleh pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2021 dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun 2022. Kini pelajar hanya menduduki peperiksaan SPM di penghujung persekolahan. Oleh kerana itu, mungkin ada pelajar yang mengambil sikap sambil lewa dan tidak menumpukan fokus serta menangguhkan latihan ulangkaji hinggalah ke saat akhir.    

Pada bulan Februari 2026, Menteri Pendidikan Malaysia telah memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal melaksanakan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027), bagi memperkasa penguasaan asas literasi dan numerasi pelajar.

Antara lain, di bawah pelaksanaan KP2027, sepanjang tempoh enam tahun persekolahan rendah (Tahun 1 – Tahun 6), waktu Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Matematik akan ditambah sebanyak 32 jam, daripada 576 jam kepada 608 jam.

Meningkatkan waktu PdP Matematik di peringkat sekolah rendah adalah satu permulaan yang baik bagi memperkukuhkan asas kemahiran Matematik pelajar. Seumpama peribahasa ‘Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya’.    

Namun begitu, semua pihak berkepentingan mesti cakna dan membawa momentum di peringkat sekolah rendah ini ke peringkat menengah, dan seterusnya ke peperiksaan SPM. Akhirnya, SPM adalah kayu pengukur utama sama ada pelajar telah mencapai tahap kemahiran Matematik yang memuaskan, dan setanding dengan pencapaian serantau serta global.      

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki maut tercampak keluar kenderaan, hanyut arus deras

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular