KENINGAU: Usaha memelihara dan memulihara alam sekitar tidak semestinya memerlukan tindakan besar, sebaliknya boleh dimulakan menerusi langkah kecil yang dilakukan secara konsisten oleh setiap individu, keluarga dan komuniti.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kesedaran serta penglibatan masyarakat merupakan elemen penting dalam memastikan agenda kelestarian alam sekitar dapat diterapkan dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, pendekatan berasaskan advokasi dan pendidikan masyarakat perlu terus diperkasa bagi meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan memelihara alam sekitar serta mengurus sumber asli secara bertanggungjawab.

“Langkah kecil yang dilakukan secara konsisten, bersama-sama dan merentas komuniti mampu memberikan impak besar dalam memelihara alam sekitar serta menjamin kelestarian sumber asli untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Alam Kita (KAK) 2026 di Padang Kampung Menawo Ulu, Trans Pagalan, di sini, pada Sabtu.
Arthur berkata, KAK 2026 menjadi antara platform NRES untuk mendekatkan mesej kelestarian dan pemuliharaan sumber asli dengan masyarakat, khususnya komuniti luar bandar.
Katanya, pendekatan itu penting kerana amalan menjaga alam sekitar perlu menjadi sebahagian daripada rutin kehidupan masyarakat dan bukan hanya dilihat sebagai tanggungjawab kerajaan atau agensi berkaitan.

“Usaha memelihara alam sekitar boleh dimulakan melalui tindakan mudah seperti mengamalkan kitar semula, mengurus sisa dengan betul dan menggunakan sumber secara bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, elemen kelestarian turut diterapkan dalam pelbagai pengisian KAK 2026 termasuk aktiviti kemasyarakatan, sukan rakyat, kenduri rakyat serta program pemerkasaan wanita.
Selain itu, masyarakat turut digalakkan menyertai aktiviti pengumpulan minyak masak terpakai, kitar semula sisa elektrik dan elektronik (e-waste), pertandingan fesyen menggunakan bahan kitar semula serta pertandingan mewarna kanak-kanak bertemakan biodiversiti dan kelestarian alam.
Arthur berkata, penglibatan masyarakat menerusi aktiviti sedemikian dapat membantu membentuk kesedaran sejak di peringkat komuniti dan seterusnya membudayakan amalan kelestarian dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, pendekatan pendidikan dan advokasi secara langsung dengan masyarakat juga membolehkan mesej berkaitan pemuliharaan alam disampaikan dalam suasana lebih santai, inklusif dan dekat dengan kehidupan penduduk luar bandar.
KAK 2026 menghimpunkan kira-kira 2,000 masyarakat tempatan daripada 26 kampung di sekitar Trans Pagalan dengan penglibatan 15 jabatan, agensi dan rakan strategik.
Pelbagai pameran, aktiviti interaktif serta program kemasyarakatan turut disediakan bagi memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber asli.
Arthur turut mengajak masyarakat supaya terus memainkan peranan dalam memastikan kelestarian alam sekitar dengan menjadikan amalan yang mesra alam sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.
Katanya, komitmen secara bersama antara kerajaan, agensi, komuniti dan individu penting bagi memastikan sumber asli terus terpelihara serta dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.



