MEMBAKUT: Semua pihak termasuk masyarakat, penjaja dan peniaga perlu memainkan peranan bersama dalam memastikan kebersihan serta keindahan kawasan masing-masing sentiasa terpelihara.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata, aspek kebersihan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif komuniti.
Katanya, kesedaran mengenai kepentingan menjaga kebersihan perlu terus dipupuk bagi membudayakan nilai kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan masyarakat.
“Saya menekankan tadi berhubung dengan perlunya semua pihak untuk memastikan kebersihan kawasan masing-masing.
“Di seluruh daerah saya minta agar perkara ini dijadikan keutamaan, kebersihan dan keindahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Komuniti Lestari yang dianjurkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dengan kerjasama Pejabat Daerah di sini pada Isnin.
Menurutnya, program berkenaan antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap usaha melestarikan alam sekitar, selain membudayakan nilai kecintaan terhadap kebersihan dan menyediakan persekitaran serta kemudahan awam yang lebih selesa.
Arifin berkata, kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan dan komuniti amat penting bagi memastikan usaha menjaga kebersihan serta kelestarian alam sekitar dapat dilaksanakan secara berterusan.
Katanya, persekitaran yang bersih, indah dan mempunyai landskap yang baik bukan sahaja memberi keselesaan, malah menyumbang kepada ketenangan, kedamaian dan kesejahteraan masyarakat.
“Alam sekitar yang bersih, indah, landskap yang cantik, dapat dimanfaatkan oleh masyarakat untuk ketenangan, kedamaian dan kesejahteraan,” katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan juga selari dengan penekanan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 terhadap aspek kesejahteraan rakyat yang merangkumi kesejahteraan fizikal, rohani dan persekitaran.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak supaya tidak mengambil mudah aspek kebersihan, khususnya di kawasan tumpuan orang ramai seperti pekan, kawasan perniagaan dan lokasi yang menjadi tumpuan komuniti.
“Perlu peranan semua masyarakat termasuk penjaja dan peniaga, tamu dan sebagainya untuk memastikan kebersihan itu adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Arifin berkata, usaha menjaga kebersihan dan keindahan kawasan turut mempunyai kaitan dengan pembangunan ekonomi setempat kerana persekitaran yang terurus mampu mewujudkan suasana lebih menarik kepada pengunjung.
Katanya, penglibatan komuniti secara menyeluruh penting bagi memastikan inisiatif kelestarian alam sekitar tidak hanya bergantung kepada program atau kempen tertentu, tetapi menjadi amalan berterusan dalam kehidupan seharian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang menjayakan Program Komuniti Lestari di Membakut, sambil berharap pendekatan sama dapat diteruskan di kawasan lain.



