KOTA KINABALU: Kakak tiri Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia tidak pernah berjumpa atau berhubung dengan remaja itu sepanjang hayatnya.
Malianah Mahathir, 25, berkata dia hanya mengetahui mengenai kelahiran Zara menerusi hantaran bapanya, Mahathir Mohd Hashim, di Facebook ketika menunggu kelahiran Zara di hospital.
Saksi ke-81 itu berkata Zara dilahirkan selepas dia tidak lagi tinggal bersama bapa dan ibu tirinya, Noraidah Lamat.
“Saya tidak pernah berjumpa dan berhubung dengan Zara kerana ibu tiri saya tidak membenarkan saya untuk berjumpa dengan Zara,” katanya.
Menjawab soalan daripada Pegawai Pengendali Mohd Fairuz Johari Malianah berkata dia merasakan hubungannya yang tidak baik dengan Noraidah menjadi sebab dia tidak dapat berjumpa Zara.
“Hubungan saya dengan Mama Zara memang tidak baik, jadi saya rasa Mama Zara memang takkan bagi saya jumpa dengan Zara,” katanya.
Namun saksi berkata dia juga tidak pernah meminta penjelasan daripada bapanya mengenai perkara itu kerana bapanya sangat jarang menjenguk mereka selepas menghantarnya kembali tinggal bersama ibu kandungnya.
Ditanya perasaannya apabila mengetahui dia tidak dapat berjumpa atau berhubung dengan adik tirinya itu, Malianah berkata: “Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk berjumpa dengan dia.”
Malianah turut mendakwa bapanya memberi layanan lebih kepada Zara apabila ditanya mengenai perbezaan yang diperhatikannya dalam hubungan atau layanan terhadap mereka.
“Zara selalu dilebihkan oleh bapa,” katanya.
Terdahulu dalam pernyataan saksinya, Malianah memberitahu mahkamah bahawa dia pernah tinggal bersama bapa dan Noraidah selama kira-kira tujuh bulan, dari hujung 2011 hingga Jun 2012.
Ditanya perkara yang paling diingatinya mengenai layanan Noraidah ketika dia masih kanak-kanak, Malianah berkata: “Dia suka cakap saya anak tidak sah taraf, dia suka cakap bapa saya tidak suka saya, dan dia suka cakap pasal ibu kandung saya.”
Malianah bersetuju dengan pengawai pengendali bahwa pengalaman itu menjadi antara sebab dia mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah bapa dan ibu tirinya.



