BERNAMA
KUALA LUMPUR; Ketua UMNO Bahagian Sepang Datuk Noorazli Said dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan perkataan-perkataan yang melukakan perasaan penganut agama Kristian semasa berucap pada Perhimpuan Agung UMNO 2026, bulan lepas.
Noorazli, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Dia didakwa dengan sengaja melukakan perasaan penganut agama itu apabila melafazkan perkataan yang mengaitkan paderi Katolik dan biarawati di Dewan Merdeka, World Trade Centre, Jalan Tun Ismail di sini pada 11.20 pagi, 12 Sept lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan kira-kira RM4,000 hingga RM5,000.
Mahkamah membenarkan Noorazli diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Nov untuk sebutan kes.
Sebelum ini media melaporkan, ucapan seorang perwakilan ketika Perhimpunan Agung UMNO telah mencetuskan kontroversi apabila menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka.
Polis sebelum ini telah menerima sebanyak 86 laporan polis dan 93 orang saksi telah dirakam percakapan. – BERNAMA



