KOTA KINABALU: Ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa beliau tidak menerima penjelasan mengenai keperluan dan kepentingan bedah siasat sebelum menandatangani borang menolak prosedur itu terhadap jenazah anaknya.
Noraidah Lamat berkata, beliau dan adik iparnya, Nur Shira, menandatangani borang berkenaan ketika berada dalam keadaan panik dan terlalu sedih selepas kematian Zara pada 17 Julai 2025.
“Kami turunkan tandatangan kerana kami pada waktu itu panik dan sedih.
“Kami cuma terlintas di fikiran, kami mahu pengurusan jenazah Zara dipercepatkan kerana kami memikirkan lagi perjalanan untuk pulang ke Sipitang yang mengambil masa tiga jam,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, Noraidah berkata, seorang doktor bertanya dengan nada lembut sama ada beliau mahu bedah siasat dijalankan terhadap jenazah Zara.
“Doktor itu tidak memberitahu tujuan. Cuma seorang doktor ada bertanya dengan nada lembut, ‘Puan mahu anak puan di-post-mortem?’
“Saya dengan emosi yang sedih menjawab, ‘Saya tidak mahu anak saya ini di-post-mortem. Kasihan anak saya,’” katanya.
Noraidah berkata, beliau memahami bedah siasat sebagai prosedur membedah dan memotong tubuh untuk memeriksa organ.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menerima penerangan yang jelas mengenai sebab prosedur itu perlu dilakukan.
Ketika diminta mengulas keterangan terdahulu Dr Logaraj Ratha, yang menyatakan bahawa beliau telah menerangkan keperluan dan kepentingan bedah siasat kepada Noraidah serta waris terdekatnya, Noraidah menafikan menerima penjelasan berkenaan.
Dr Logaraj juga sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Noraidah telah membuat keputusan untuk tidak menjalankan bedah siasat walaupun penerangan dan nasihat telah diberikan.
Apabila ditanya sekali lagi sama ada Dr Logaraj memberikan penjelasan dan nasihat sebelum beliau menandatangani borang itu, Noraidah menjawab, “Tidak ada.”
Ditanya sama ada beliau membaca kandungan borang sebelum menandatanganinya, Noraidah berkata, beliau hanya membacanya sepintas lalu tanpa memahami maksud yang terkandung di dalamnya.
“Saya membaca sepintas lalu dan saya tidak faham apa maksud di dalam borang ini.
“Kerana pada ketika itu saya sedih yang teramat-amat sedih, saya panik sehingga badan saya menggeletar, dan apa pun yang tertulis di borang ini tidak dapat saya tafsir,” katanya.
Noraidah turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menerima salinan borang berkenaan ketika menandatanganinya.
Menurutnya, salinan dokumen itu kemudian diberikan oleh seorang anggota polis wanita melalui WhatsApp selepas perkara berkenaan dibangkitkan ketika sesi pengambilan keterangannya.



