KOTA KINABALU: Kira-kira 250 peserta dari 26 negara dijangka menyertai Larian Pendakian Antarabangsa Gunung Kinabalu 2026, yang bakal berlangsung di Taman Kinabalu pada 18 Oktober ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, penyertaan antarabangsa itu membuktikan Gunung Kinabalu terus mempunyai daya tarikan dalam komuniti sukan gunung di peringkat antarabangsa.
Katanya, antara negara dan wilayah yang diwakili termasuk Australia, Belgium, Brunei, Chile, China, Chinese Taipei, Perancis, Great Britain, Hong Kong, India, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Macau, New Zealand, Norway, Palestin, Filipina, Rusia, Singapura, Sepanyol, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.
“Secara keseluruhannya, larian pendakian pada tahun ini melibatkan kira-kira 250 peserta dari 26 negara, termasuk Malaysia dan peserta antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang media
sempena penganjuran Larian Pendakian Antarabangsa Gunung Kinabalu 2026 edisi ke-33 dan Timpohon Run 2026 di sini.
Menurut Jafry, penganjuran larian pendakian itu bukan sekadar pertandingan sukan, malah menjadi platform penting untuk memperkenalkan Sabah sebagai destinasi sukan, pengembaraan, alam semula jadi dan pelancongan bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata, kehadiran atlet antarabangsa bersama keluarga, penyokong dan pasukan masing-masing turut membuka peluang untuk memperkenalkan destinasi lain di Sabah, termasuk budaya, makanan, komuniti dan keramahan rakyat tempatan.
“Setiap atlet antarabangsa yang datang untuk bertanding juga merupakan pelawat ke Sabah. Kita mahu mereka bukan sahaja datang untuk berlumba, tetapi tinggal lebih lama, meneroka lebih jauh dan membawa pulang pengalaman serta cerita yang baik mengenai Sabah,” katanya.
Larian pendakian edisi ke-33 itu akan bermula pada jam 6.30 pagi, 18 Oktober ini di Dewan Kinabalu, Taman Kinabalu, dengan laluan perlumbaan sekitar 24.5 kilometer dan membawa peserta mendaki ke ketinggian melebihi 4,000 meter.
Tiga kategori utama dipertandingkan iaitu Men Elite, Women Elite dan Men Veteran.
Penganjuran tahun ini turut menyaksikan Larian Pendakian Antarabangsa Gunung Kinabalu kembali menjadi sebahagian daripada Merrell Skyrunner World Series 2026, yang merangkumi 19 perlumbaan di 12 negara merentasi empat benua.
Gunung Kinabalu merupakan perlumbaan ke-17 dalam litar 2026, sekali gus meletakkan Sabah pada kedudukan penting dalam kalendar skyrunning antarabangsa menjelang penghujung musim.
Dalam pada itu, Timpohon Run 2026 akan berlangsung sehari lebih awal iaitu pada 17 Oktober, dengan jarak kira-kira 10 kilometer dan menerima lebih 350 peserta, termasuk dari Malaysia, Indonesia dan Filipina



