TAWAU: Seorang inspektor polis yang berdepan dua pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM12,000 dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya melepas dan membebaskan Mohamad Soffi Jalal, 44, tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohamad Soffi, selaku Inspektor Siasatan dan Perundangan di Bahagian Siasatan Jenayah, didakwa secara rasuah bersetuju menerima suapan wang tunai RM5,000 daripada seorang lelaki.
Wang berkenaan didakwa sebagai dorongan supaya tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan atas kesalahan membuat aduan palsu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, serta memulangkan semula barang rampasan kes, iaitu sarang burung walit dianggarkan seberat 22.5 kilogram kepadanya.
Mohamad Soffi didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Mac 2021, sekitar jam 3.30 pagi di Pejabat Pegawai Penyiasat, Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang rasuah sebanyak RM7,000 daripada individu sama pada 4 Mac 2021 di lokasi yang sama.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 21 saksi.
Mohamad Soffi diwakili oleh peguam Edward Paul.



