PENAMPANG: Seorang lelaki berusia 34 tahun maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya bertembung dengan sebuah motokar di Jalan Datuk Panglima Banting dekat sini, malam Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintenden Arisanti Aziz, berkata siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda yang dipandu mangsa dari arah Bukit Padang dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan motokar yang dipandu lelaki berusia 42 tahun.
Beliau berkata, pemandu motokar berkenaan mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau membahayakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni, menerusi talian 019-8095133 bagi membantu siasatan.



