HomeUtamaKeputusan rayuan tuntutan 40 peratus hasil Sabah ditetapkan kemudian

Keputusan rayuan tuntutan 40 peratus hasil Sabah ditetapkan kemudian

Read Time:1 Minute, 40 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 12 November untuk pengurusan kes secara e-Review bagi menentukan tarikh keputusan rayuan Kerajaan Persekutuan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Azhahari Kamal Ramli, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan semua pihak yang terlibat.

Panel berkenaan memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti hujahan semua pihak sebelum membuat keputusan.

Kerajaan Persekutuan merayu terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, termasuk dapatan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar tanggungjawab mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan terhadap formula 40 peratus hasil Sabah atau hak negeri itu untuk mendapatkan semakan semula seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi antara lain mengeluarkan perintah mandamus yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan semula bersama Kerajaan Sabah berhubung hak negeri itu terhadap 40 peratus hasil bagi tahun kewangan 1974 hingga 2021, yang dikenali sebagai tempoh “Lost Years”.

Semakan itu perlu dilaksanakan dalam tempoh 90 hari, manakala kedua-dua kerajaan dikehendaki mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah berkenaan.

Hakim Datuk Celestina Stuel Galid mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).

Kerajaan Persekutuan kemudian memohon penangguhan pelaksanaan perintah berkenaan sementara menunggu keputusan rayuannya dan permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 6 April lalu.

Kerajaan Persekutuan selaku perayu diwakili Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Nurhafizza Azizan, bersama Azza Azmi, Safiyyah Omar dan Nur Atirah Aiman Rahim.

SLS selaku responden pertama pula diwakili peguam David Fung Yin Kee, Jeyan T.M. Marimuttu, Janice Junie Lim, Liew Yung Enn dan Vanessa Maria Marimuttu.

Kerajaan Sabah selaku responden ketiga diwakili Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Brenndon Keith Soh, bersama Peguam Kanan Negeri Mohd Saifurrazee Mohamed @ Hussin dan Devina Teo serta Peguam Negeri Roland Alik.

RELATED ARTICLES
Utama

KKR arah pelan pemulihan segera projek Pan Borneo Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular